Manchester City mengelakkan daripada dikenakan hukuman larangan perpindahan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan kelab itu hanya akan didenda berikutan melanggar peraturan yang berkaitan menandatangani pemain muda.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu diperintahkan supaya membayar £314,577 (RM1.5 juta) kerana melanggar peraturan 19 FIFA berkenaan status dan perpindahan pemain.

Bagaimanapun, City tidak akan menghadapi larangan perpindahan seperti Chelsea, Mac lalu, yang didapati melakukan kesalahan yang sama.

Seperti The Blues, FIFA mendapati City melanggar peraturan mengenai pengambilan pemain muda.

Gergasi LaLiga, Barcelona, ​​Real Madrid dan Atletico Madrid juga dikenakan hukuman atas kesalahan yang sama sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Begitupun, Jawatankuasa Disiplin FIFA "mengambil kira Manchester City FC mengakui bertanggungjawab" dan ini bermakna kelab itu hanya dikenakan denda.

City dalam satu kenyataan berkata: "Kelab ini akur bertanggungjawab terhadap kesalahan yang timbul akibat salah tafsir peraturan yang dipersoalkan.

"Kesemua kesalahan sebelum Disember 2016 itu berlaku atas salah tafsir terhadap peraturan dan sejak itu, Manchester City telah mematuhi sepenuhnya peraturan berkenaan.

"Kelab ini amat menghargai dan berkongsi tekad dengan FIFA untuk memastikan perlindungan terhadap pasukan kerdil dalam bola sepak dan telah memberi kerjasama sepenuhnya, sepanjang masa telus dan menyediakan bukti terhadap siasatan yang dijalankan."

Chelsea dikenakan larangan dua jendela perpindahan dan "terkejut" tatkala Jawatankuasa Rayuan FIFA enggan menangguhkan hukuman itu di sebalik The Blues mengemukakan rayuan.

"Kelab ini telah segala mematuhi peraturan yang berkaitan dan telah memberitahu FIFA mengenai hasratnya untuk merayu terhadap keputusan dan tindakan jawatankuasa tatatertib itu," kata satu kenyataan The Blues.

Skuad kendalian Frank Lampard itu tidak dibenarkan mendaftarkan muka baru dalam jendela perpindahan yang terbaru, termasuk Januari depan.