Manchester City mendedahkan Gabriel Jesus, Kyle Walker dan dua lagi kakitangan kelab itu positif COVID-19.

Jesus menyumbangkan gol pembukaan dalam kemenangan suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) 4-1 di Arsenal, Rabu lalu, sementara pemain pertahanan, Walker, muncul sebagai pemain gantian.

Kedua-dua pemain itu bakal terlepas perlawanan 'Boxing Day' dengan Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana perlu mengasingkan diri selepas didapati menghidapi pandemik berkenaan.

The Citizens akan menghadapi Everton, dua hari kemudian dalam jadual perayaan yang sibuk sebelum berkunjung ke Chelsea pada Khamis depan.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu juga akan menghadapi Manchester United dalam aksi 'derby' separuh akhir Piala EFL di Old Trafford, minggu depan.

City dalam satu kenyataan berkata: "Manchester City FC mengesahkan Gabriel Jesus, Kyle Walker, dan dua lagi kakitangan kami telah terbukti positif COVID-19.

"Keempat-empat individu itu sedang mengasingkan diri dan mematuhi protokol yang ditetapkan EPL dan Kerajaan UK.

"Semua orang di kelab ini berharap agar rakan sekerja kami dapat pulih dengan cepat sepanjang tempoh Krismas ini untuk kembali bekerja, latihan dan beraksi."