Manchester City mengesahkan Aymeric Laporte bakal tersisih selama tiga atau empat minggu ekoran masalah hamstring dan ini bermakna dia akan terlepas pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Real Madrid.

Pertahanan Perancis itu terpaksa digantikan oleh Fernandinho pada minit ke-33 minit perlawanan di Santiago Bernabeu, kelmarin, selepas mengalami kecederaan akibat perlanggaran dengan Karim Benzema.

City, bagaimanapun, menang 2-1 untuk membawa kelebihan menjelang aksi kedua di Manchester pada 18 Mac depan, namun Laporte tidak mungkin akan sempat cergas untuk pertembungan itu.

Bercakap dalam sidang akhbar semalam menjelang final Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Aston Villa, awal pagi Isnin ini, pengurus The Citizens, Pep Guardiola berkata: "Ini adalah kecederaan hamstring, jadi proses pemulihannya kebiasaannya akan mengambil masa selama tiga minggu hingga sebulan.

"Kami cuba menghindarinya tetapi malangnya, ia tetap berlaku. Selepas berehat empat atau lima bulan dan diturunkan dalam perlawanan getir, kadangkala ia boleh berlaku."



Ia merupakan satu lagi tamparan buat Laporte yang musim ini bergelut dengan kecederaan.

Bekas pertahanan tengah Athletic Bilbao itu telah diketepikan kerana kecederaan lutut serius pada Ogos dan lalu dan hanya membuat kemunculan semula ketika menentang Sheffield United, 21 Januari lalu.

"Jika anda berfikir 'saya seorang lelaki yang malang', maka anda tidak akan meningkat. Dia harus akur dan bekerja lebih keras untuk kembali dalam keadaan terbaik."

Laporte merupakan nadi buat City dan dianggap sebagai pertahanan yang tekal berikutan telah memperkuatkan City sebanyak 35 kali ketika mereka memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Selain final Piala EFL dan kunjungan ke Madrid, Laporte dijangka akan terlepas pertemuan 'derby' dengan Manchester United selain menentang Chelsea.

Namun, dia dijangka boleh kembali beraksi lagi ketika Liverpool melawat Stadium Etihad pada 5 April depan.