Status Harry Maguire menimbulkan keresahan buat Manchester United menjelang aksi setempat menentang Manchester City Ahad ini akibat kecederaan buku lali.

Pemain antarabangsa England itu tidak beraksi dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA menentang Derby County awal pagi tadi selepas mengalami masalah dengan buku lali ketika latihan.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, mendedahkan dia mahu menurunkan kapten pasukan itu pada hari ulang tahun kelahirannya ke-27 menentang The Rams.

Namun, kecederaan yang dialami Maguire membuatkan pengendali itu tidak pasti sama ada dia boleh diturunkan dalam aksi berdepan skuad bimbingan Pep Guardiola, City, di Old Trafford.

"Saya berbincang dengannya sebelum sesi latihan semalam bahawa saya tidak akan merehatkannya dalam pertemuan dengan Derby," kata Solskjaer.

"Namun, dia terseliuh buku lali ketika latihan, jadi terpaksa berehat di rumah. Diharapkan dia akan cergas untuk aksi hujung minggu ini tetapi saya tidak pasti."

City juga dipalit isu kecederaan selepas Kevin De Bruyne terlepas kemenangan 1-0 ke atas Sheffield Wednesday dalam perlawanan Piala FA akibat kecederaan belakakng.

Dalam aksi awal pagi tadi, Solskjaer membuat enam pertukaran berbanding kesebelasan utama yang diikat Everton 1-1, meletakkan Juan Mata selaku kapten sambil mempertaruhkan Odion Ighalo.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman United, Wayne Rooney, dinamakan dalam kesebelasan utama Derby.