Kapten Manchester United, Harry Maguire, mengagumi usaha Thomas Tuchel di Chelsea tetapi berazam untuk meleburkan rekod tanpa kalah Blues apabila kedua-dua pasukan bertemu awal pagi esok.

Chelsea seri dua dan menang enam dalam lapan perlawanan semua pertandingan sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard di Stamford Bridge sejak 26 Januari, menjaringkan 10 gol dan bolos dua kali.

Skuad kendalian Tuchel kini dibezakan enam mata dengan penghuni tangga kedua United, yang bertandang ke Stamford Bridge dengan rekod kelab 19 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Rentetan itu bermula 12 bulan yang lalu dan Maguire berharap mereka akan memperoleh kemenangan di London esok, dengan United mencari kemenangan berturut-turut di Stamford Bridge buat pertama kali sejak 1995.

"Perlawanan bertemu Chelsea sememangnya sukar tetapi kami ke sana tahun lalu dan menang jadi kami mahu melakukannya sekali lagi," katanya.

"Kedudukan mereka semakin baik dan tidak banyak dibolosi jaringan, jadi ia adalah permulaan yang baik, kami berharap untuk meleburkannya.

"Reaksi yang bagus [untuk menukar pengurus]. Mereka merupakan barisan pemain yang berbakat dengan jumlah wang yang dibelanjakan sejak musim panas yang lalu, mereka mula menemui rentak, padat tetapi kami perlu melihat kepada kemampuan diri sendiri, itu perkara paling penting sekali.


"Kami akan memasuki perlawanan dengan keyakinan penuh, kepercayaan. Kami pasti akan bermain dengan kemampuan bagi meraih tiga mata."

Maguire merupakan pemain yang tidak diturunkan ketika seri tanpa jaringan dengan Real Sociedad Jumaat lalu -- keputusan menyaksikan United mara ke pusingan 16 Liga Europa hasil kemenangan agregat 4-0.

Pemain kebangsaan England itu turun dalam setiap perlawanan liga buat Untied musim ini dan berazam untuk membantu pasukannya melanjutkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

"Setiap tiga atau empat hari, anda perlu fokus dan bersiap sedia secara mental bagi meraih tiga mata.

"Anda perlu bersedia untuk terus menang, menang, menang dan mencari aksi konsisten bagi meletakkan di mana kami berada."