Bournemouth telah mencapai persetujuan dengan Liverpool untuk memastikan Harry Wilson kekal dipinjamkan kepada mereka bagi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kedua-dua kelab itu membincangkan isu lanjutan kerana wabak coronavirus membuatkan saingan liga melebihi perancangan awal serta tarikh luput pinjaman pemain itu.

Pemain Wales, Wilson, menjadi kunci utama buat Bournemouth, meledakkan tujuh gol dalam 23 penampilan Liga Perdana Inggeris.

Susulan lanjutan itu, pemain berusia 23 tahun itu bakal membantu skuad kendalian Eddie Howe itu untuk keluar daripada zon penyingkiran dalam sembilan perlawanan terakhir.

Bournemouth kini menduduki tangga ke-18, empat mata dibezakan dengan pasukan tangga ke-15, Brighton and Hove Albion, dan Aston Villa yang berada di tangga ke-19.

The Cherries akan menyambung semula aksi liga dengan melayan kunjungan Crystal Palace, 20 Jun ini.