Liverpool sepatutnya diberikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris jika saingan musim ini tidak dapat dilengkapkan ekoran wabak coronavirus, kata bekas penjaga gol Manchester United, Mark Bosnich.

Skuad kendalian Jurgen Klopp, Liverpool, memiliki kelebihan 25 mata di puncak liga selepas memenangi 27 daripada 29 perlawanan sebelum saingan ditangguhkan bulan lalu.

Sehingga kini, masih belum ada kata putus mengenai masa depan saingan liga dan tiada bayangan apa akan berlaku jika ia gagal dilengkapkan.

Bosnich -- yang dua kali bersama United serta pernah menyarung jersi Chelsea dan Aston Villa -- percaya The Reds patut diberikan kejuaraan liga pertama sejak 1990.

"Mereka patut diberikan status juara," katanya.

"Mengikut peraturan Liga Perdana Inggeris, mereka mungkin dinamakan selaku pemenang atau tidak tetapi saya fikir ia adil dan tidak menjadi masalah untuk memberikan mereka kejuaraan liga.

"Sejujurnya, mereka tidak mampu lagi dikejar."

Bagaimanapun, Bosnich berpendapat isu lebih besar sedang menunggu jika saingan tidak dapat ditamatkan ekoran wabak yang telah meragut lebih 145,500 nyawa di seluruh dunia.

Bekas pemain Australia itu berkata ia akan menimbulkan persoalan mengenai slot Liga Juara-Juara Eropah, penyingkiran serta Liga Kejuaraan.

"Pasukan daripada Liga Kejuaraan, bagaimana dengan Leeds United dan West Bromwich Albion? Pasti akan ada masalah jika saingan dibatalkan. Kami telah melihat beberapa minggu lalu apabila Ketua Eksekutif West Ham United, Karren Brady, mencadangkannya.

"Jika Liverpool dinamakan selaku juara, pasukan lain pasti menuntut untuk berada dalam saingan Liga Juara-Juara. Jika ia dibatalkan, pasukan dalam zon penyingkiran akan menegaskan mereka layak berada dalam Liga Perdana Inggeris musim depan.

"Kami akan berada di mahkamah dalam tempoh dua tahun lagi kerana musim ini. Ia sesuatu yang harus difikirkan oleh semua orang. Anda tidak mahu berada di mahkamah selama bertahun-tahun dan ketika ia dibicarakan, segala memori akan lenyap.

"Ia akan menjadi sesuatu yang sangat sukar tetapi mereka sudah mempunyai sesuatu yang di luar jangkaan."