Liverpool tewas buat kali keenam berturut-turut di Anfield selepas tewas 0-1 kepada pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Fulham, dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Rekod buruk skuad kendalian Jurgen Klopp itu turut merangkumi kekalahan 1-4 kepada Manchester City, di mana Mohamed Salah menjaringkan gol melalui sepakan penalti.

Itu merupakan satu-satunya kekalahan di mana mereka menemui jaringan dan mereka mula merekodkan kekalahan demi kekalahan di Anfield sejak terikat tanpa jaringan dengan Manchester United pada 18 Januari lalu.

Ia bermakna, susulan 16 percubaan yang dilakukan ke atas Fulham malam tadi, Liverpool telah melakukan 115 percubaan sejak kali terakhir mereka menjaringkan gol daripada permainan terbuka di Anfield, iaitu ketika terikat 1-1 dengan West Brom pada 27 Disember lalu.

Ia merupakan rekod percubaan daripada permainan terbuka paling banyak tanpa menjaringkan gol di halaman senditi sejak data Opta mula mengumpulkan jumlah setiap percubaan.

Hanya Portsmouth (114 pada 2008) dan Manchester City (101 pada ogos 2007) menjadi dua kelab lain yang pernah mencapai angka 100 dalam rekod buruk itu.