Chelsea mengesahkan bahawa mereka akan bersama lima kelab Inggeris lain menarik diri daripada cadangan mewujudkan Liga Super Eropah selepas kecaman daripada pelbagai pihak ke atas projek itu.

Terdahulu, Manchester City mengumumkan penarikan diri mereka hanya 48 jam selepas cadangan mewujudkan liga itu diumumkan.

Empat kelab Inggeris lain, Arsenal, Liverpool, Manchester United dan Tottenham, kemudian mengikut jejak City menerusi pengumuman masing-masing sebelum Chelsea menjadi pasukan terbaru mengesahkan penarikan diri mereka.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Chelsea berkata: "Seperti yang dilaporkan awal petang ini, Kelab Bolasepak Chelsea boleh mengesahkan bahawa kami telah memulakan prosedur formal untuk menarik diri daripada perancangan menubuhkan Liga Super Eropah.

"Sejak menyertai kumpulan itu pada hujung minggu lalu, kami kini mempunyai masa untuk menilai perkara ini dengan sepenuhnya dan memutuskan bahawa meneruskan penyertaan kami dalam perancangan ini tidak akan menjadi perkara terbaik buat kelab, penyokong dan komuniti bola sepak yang lebih besar."

Projek Liga Super Eropah itu mendapat kecaman sejagat daripada penyokong, pemain, jurulatih, persekutuan dan kerajaan negara.

Penyokong Chelsea menyuarakan bantahan mereka dengan melakukan protes di luar Stamford Bridge sebelum pasukan itu terikat 0-0 dengan Brighton and Hove Albion dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.