Legenda Liverpool St John meninggal dunia pada usia 82 tahun

By Muzaffar Musa 3 March 2021 107
Legenda Liverpool St John meninggal dunia pada usia 82 tahun
Bekas penyerang Liverpool dan Scotland, Ian St John, meninggal dunia pada usia 82 tahun selepas sekian lama bergelut dengan masalah kesihatan.

St John merupakan salah sorang pemain bintang ketika era Bill Shankly di Anfield selepas menyertai kelab itu daripada Motherwell dengan perpindahan bernilai £37,500 (RM212,110) pada 1961.

Setelah membantu Liverpool ke saingan Divisyen Satu, dia merupakan pemain utama ketika mereka meraih gelaran musim 1963-64 dan 1965-66.

Kedua-dua kejayaan itu tiba ketika St John berada di kemuncak prestasinya di mana dia turut menjaringkan gol dalam waktu kecederaan untuk membantu Liverpool menewaskan Leeds United 2-1 dalam Final Piala FA untuk memastikan kejayaan pertama The Reds dalam kejohanan itu.

St John melakukan 425 penampilan buat Liverpool sekitar tahun 1961 hingga 1971 dan menjaringkan sebanyak 118 gol.

Dia turut melakukan 21 penampilan bersama Scotland dan kembali ke Motherwell sebagai pengurus pada 1973.

Bagaimanapun, karier St John yang paling diingati adalah ketika dia menjadi personaliti media, terutama ketika bergandingan dengan bekas penyerang England, Jimmy Greaves, dalam rancangan "Saint and Greavsie".

"Dengan berat hatinya, kami terpaksa memaklumkan bahawa selepas bertarung dengan masalah kesihatan panjang, kami telah kehilangan seorang suami, bapa dan datuk," kata ahli keluarga St John dalam satu kenyataan di laman web rasmi Liverpool.

"Dia meninggal dunia secara tenang di samping keluarganya.

"Kami mahu berterima kasih kepada kesemua pekerja di Hospital Arrowe Park atas usaha keras dan dedikasi mereka sepanjang waktu paling sukar ini.

"Keluarga kami berterima kasih di atas privasi yang diberikan ketika waktu paling menyedihkan ini."
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment