LEEDS UNITED 2 DERBY COUNTY 4
(Derby mara dengan agregat 4-3)

Derby County mempersendakan Leeds United sejurus menempah tempat dalam aksi play-off Liga Kejuaraan berhubung lagu yang mereka tujukan kepada pengurus Derby, Frank Lampard.


Pertembungan di antara kedua-dua kelab itu sering mengundang perhatian, apatah lagi pengurus Leeds, Marcelo Bielsa, mengaku mengintip The Rams untuk persiapan pertemuan liga, Januari lalu.

Penyokong Leeds kemudian mengejek Lampard dengan menyanyikan rangkap lagu klasik Oasis, Stop Crying Your Heart Out, yang merujuk kepada intipan Bielsa selepas kemenangan 1-0 dalam pertemuan pertama play-off itu yang akan menentukan tempat mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Bagaimanapun, Derby bangkit untuk menempah aksi penentuan play-off seterusnya menentang Aston Villa walaupun dipaksa bangkit dalam aksi di Elland Road, awal pagi tadi, yang menyaksikan kedua-dua pasukan mengakhiri permainan dengan 10 pemain.

Jack Marriott bangkit dari bangku simpanan untuk meledak dua gol untuk membantu Derby meraih kemenangan 4-2, seterusnya mara 4-3 secara agregat.

Barisan pemain The Rams kemudian mengambil kesempatan itu dengan meraikan kemenangan tersebut dengan isyarat teropong.

Twitter rasmi Derby lantas tidak membuang masa untuk membalas ejekan Leeds menjelang pertemuan dengan Villa yang turut menampilkan bekas rakan sepasukannya di Chelsea, John Terry, selaku penolong pengurus, 27 Mei ini.

Lampard, yang ditemui selepas perlawanan, mengakui kemenangan tersebut bertambah manis selepas insiden intipan tersebut tetapi menambah: "Ramai orang mengatakan kami meratapi intipan tersebut, padahal sudah lama saya melupakannya."

Bagaimanapun, dakwaannya itu diragui selepas pemain Derby, Duane Holmes, berkongsi rakaman yang memaparkan Lampard turut sama menyanyikan lagu Oasis itu di dalam bilik persalinan.