BOURNEMOUTH 2 CHELSEA 2

Frank Lampard terkilan dengan "permainan buruk dalam tempoh 10 minit" ketika Chelsea dipaksa seri 2-2 di Bournemouth dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), tengah malam tadi.


Jaringan kedua Marcos Alonso hadir ketika menuju lima minit terakhir permainan di Stadium Vitality itu selepas pelawat terlebih dahulu memimpin permainan menerusi gol Jefferson Lerma dan Joshua King bagi memadamkan gol pembukaan pemain Sepanyol berkenaan dalam babak pertama.

Pengurus The Blues itu menyaksikan pasukannya kalah 0-3 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara (UCL) Rabu lalu selepas gergasi Jerman berkenaan menyumbat dua gol dalam tiga tempoh minit.

Berikutan jaringan Lerma dan King hanya dipisahkan dalam tempoh 176 saat, Lampard mempersoalkan tahap tumpuan pemainnya.

"Kami sepatutnya menang, kami mempunyai banyak peluang," katanya.

"Kami menempuhi tempoh 10 minit buruk yang menyaksikan tuan rumah meledak gol dan saya tidak menyukainya.

"Saya gembira dengan karakter yang dipamerkan anak buah saya bagi mencatat keputusan seri tetapi kami seharusnya memenangi perlawanan ini.

"Ketika menentang Bayern, kami melepaskan dua gol dalam masa yang singkat. Ini bukan kali pertama ia berlaku, adakah ia didorong kekurangan fokus? Mungkin ia berpunca daripada pemain.

"Orang ramai bercakap tentang pertahanan tetapi jika anda mendahului 1-0 dan memberi ruang kepada pasukan lawan maka satu situasi bola mati boleh mengubah perlawanan.

"Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol lagi dan kami tidak mempunyai masalah itu."

Keputusan itu menyebabkan kedudukan Chelsea di tangga keempat terancam dengan Manchester United mampu merapati mereka dengan satu mata ketika berkunjung ke Everton malam ini.



Lampard lega memiliki kelebihan dalam perlumbaan sengit untuk kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) tetapi sedar ia hanya menjadi penting pada akhir musim ini.

"Setakat ini, kami sepatutnya gembira kerana berada di tangga keempat tetapi ia tidak bermakna apa-apa di peringkat ini," katanya.

"Jika kami berjaya meraih tempat keempat teratas, ia satu pencapaian besar tetapi kami masih jauh untuk menggapainya."