Frank Lampard mahu kekal selama mungkin sebagai pengurus Chelsea tetapi sedar keputusan itu akan berada di luar kawalannya sekiranya gagal memberikan keputusan yang baik.

Lampard, yang pernah melakukan 648 penampilan bersama Chelsea, dilantik sebagai pengurus skuad The Blues itu pada awal musim 2019-20 selepas hanya setahun menjadi pengurus Derby County dalam Liga Kejuaraan.

Dia melonjakkan pasukan itu ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dan layak ke final Piala FA sebelum tewas di tangan Arsenal.

Mereka kini berada di tangga ketiga EPL musim ini dengan hanya tewas sekali daripada 10 perlawanan selain layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) biarpun masih berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, pemilik Chelsea, Roman Abramovich, terkenal dengan sikapnya yang gemar memecat pengurus -- Lampard merupakan pengurus ke-15 dipilih sejak jutawan Russia itu membeli kelab berkenaan pada 2003.

Lampard sedar beberapa keputusan buruk sudah cukup untuk mengancam kedudukannya tetapi berharap dapat diberikan lebih peluang untuk membina sesuatu yang berbeza di Stamford Bridge.

"Saya masih mempunyai 18 bulan (dalam kontrak) dan saya rasakan, ketika awal saya datang ke kelab ini, terdapat keadaan yang menjadikan peralihan yang cuba kami lakukan tahun lalu menjadi sedikit sukar,"katanya dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Leeds United dalam EPL awal pagi esok.

"Saya fikir ia adalah satu kejayaan. Kini saya berasa gembira untuk menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang di sini.

"Pembelian yang kami lakukan pada musim panas lalu, selain Thiago (Silva), merupakan pembelian untuk hari ini dan masa depan; pemain ini akan berkembang dan menjadi matang di sini.

"Sudah pasti saya mahu menjadi sebahagian daripadanya, sudah pasti ia terpulang kepada keputusan pemilik dan kelab ini.

"Saya seorang yang bertuah untuk menguruskan kelab yang saya cinta dan menjadi sebahagian daripada hidup saya.

"Jadi, sudah pasti saya mahu mencipta kejayaan dan bertahan selama mana yang boleh di sini.

"Saya mahu meneruskan tugas ini tetapi saya sedar ia bergantung kepada keputusan kami," katanya.

Bekas rakan sepasukan Lampard ketika di Chelsea, Branislav Ivanovic, yang kini beraksi bersama West Brom, berasakan pengendali berusia 42 tahun itu akan layak menjadi pengurus England satu hari nanti.

Walaupun Lampard mengakui akan teruja dengan peranan berprestij seperti itu, fokusnya pada ketika ini hanya tertumpu buat Chelsea.

"Saya hargai pendapat Branislav. Dia rakan yang baik dan saya menghargai kata-kata positifnya.

"Ia bukanlah sesuatu yang saya akan lihat dalam jangka pendek ini. Saya amat patriotik, saya gembira mewakili negara saya tetapi buat masa ini, fokus saya hanyalah untuk melakukan yang terbaik di sini.

"Saya menghargainya dan sekiranya ada peluang seperti itu selepas ini, ia sudah pasti merupakan apa yang saya mahukan tetapi anda tidak boleh melihat terlalu jauh dalam bidang seperti ini," katanya lagi.