Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menggesa pasukannya untuk terus merendah diri biarpun kemenangan ke atas Newcastle United malam tadi membuktikan mereka mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Untuk seketika, kemenangan 2-0 di St James' Park itu meletakkan Chelsea di tangga teratas menerusi jaringan awal ke gawang sendiri Federico Fernandez yang disusuli gol Tammy Abraham hasil bantuan Timo Werner.

Dengan mendominasi permainan -- Chelsea merekodkan 78.9 peratus penguasaan dalam babak pertama dengan melakukan 439 hantaran berbanding 109 oleh Newcastle sebelum waktu rehat --- satu-satunya kekecewaan Lampard adalah pasukannnya tidak memenangi perlawanan itu dengan jaringan yang lebih besar.

Tetapi dengan mengambil kira pasukannya turun tanpa Thiago Silva, Kai Havertz dan Christian Pulisic, ia merupakan kunjungan ke laman Tyneside itu yang amat berjaya buat Lampard.

"Ia amat menggembirakan tetapi saya tidak akan teruja untuk berada di tangga teratas selama lima minit.

"Ia masanya untuk terus merendah diri apabila anda berada di atas dan perlu tahu bahawa ia masih perlumbaan yang amat-amat panjang," katanya.

Bekas rakan sepasukan Lampard di bahagian tengah Chelsea dan England, Joe Cole, percaya bahawa pengurus itu sedang membina skuad juara di kelab berkenaan.

Bercakap dalam BT Sport, Cole berkata: "Saya tidak fikir Frank akan berterima kasih kepada saya tetapi jika anda melihatnya, anda sedang melihat kepada pasukan yang akan mencabar kejuaraan.

"Jika anda menambah Pulisic dan Havertz dalam senarai pemain itu, ia sesuatu yang terlampau bagus. Ia telah terbina dengan sebaik mungkin: strukturnya berada di tempat yang betul, gaya permainan dan metodologinya.

"Pujian terbesar yang anda boleh berikan kepada Frank adalah disebabkan personalitinya dalam pasukan itu -- etika kerja, kebersamaan, ia tidak terhenti," katanya.

Chelsea kini tidak pernah kalah dalam tujuh perlawanan EPL dan sembilan dalam kesemua kejohanan sejak tewas penentuan penalti kepada Tottenham dalam Piala EFL.