Lampard mahu Chelsea bangkit dari kekalahan kepadaMan United

By Staff Writer 18 February 2020 1457
Lampard mahu Chelsea bangkit dari kekalahan kepadaMan United
Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berkata kempen Chelsea harus bermula sekarang selepas pasukan kendaliannya mensia-siakan peluang dan dinafikan Pembantu Pengadil Video (VAR) sebelum tewas 2-0 di tangan Manchester United di laman sendiri, awal pagi tadi.

The Blues -- yang bakal berdepan Tottenham Hotspur selepas ini -- kini hanya menang satu daripada enam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan terkini di Stamford Bridge sekali gus menyaksikan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas dalam bahaya.

Penggantungan daripada Liga Juara-Juara Eropah yang dihadapi Manchester City -- sekiranya dilaksanakan -- bermaksud kedudukan kelima sudah cukup untuk pasukan Liga Perdana Inggeris mara ke saingan tertinggi Eropah itu, musim depan.

Bagaimanapun, hanya 10 mata membezakan Chelsea dan Arsenal yang berada di tangga ke-10 dalam perlumbaan ke saingan tinggi Eropah.

Lampard terkilan VAR tidak menyebelahi pasukannya ketika berdepan United tatkala Harry Maguire terlepas daripada layangan kad merah susulan insidennya dengan Michy Batshuayi sambil dua jaringan The Blues dinafikan dalam babak kedua.

Bagaimanapun, pengendali itu sekali lagi menyalahkan ketumpulan penyudah pihaknya di depan gawang sebagai punca kekalahan.

"Ia sukar untuk berdepan pelbagai faktor kekalahan," katanya.

"Ia mengecewakan tetapi inilah kehidupan. Saya tidak kecewa dengan usaha dan persembahan pasukan. Mereka sedang murung dan saya perlu perbaikinya. Ia sepatutnya bukan satu perlawanan yang berakhir 2-0 tetapi hakikatnya ia berlaku kerana beberapa detik.

"Kami seperti dalam Groundhog Day atau apa sahaja yang anda hendak gelarkan. Terdapat beberapa perkara dalam bola sepak yang menjadi semakin jelas setiap minggu.

"Setiap hari kami sentiasa ada tugas yang perlu dilakukan. Pada waktu ini, kami menduduki tangga keempat dan kempen kami kini bermula. Ada perkara-perkara yang boleh saya kritik; saya bukan lembut. Jika kami tidak menunjukkan kemampuan untuk menyudahkannya, ia adalah sangat sukar untuk memenangi perlawanan."

Anthony Martial memberikan United pendahuluan sebelum rehat, manakala Kurt Zouma hanya mampu melihat jaringannya dalam babak kedua dibatalkan pengadil susulan Cesar Azpilicueta menolak Brandon Williams.

Tandukan Olivier Giroud selepas itu turut dinafikan akibat ofsaid selepas Maguire menjadikan kedudukan 2-0 hasil sepakan sudut Bruno Fernandes.

"Maguire patut menerima kad merah dan kemudian dia menjaringkan gol kedua. Ia mengubah perlawanan," tambah Lampard.

"Ia adalah aspek utama penggunaan VAR. Pengadil tidak mampu melihat semua sudut dan jika anda tidak menggunakan paparan disediakan, saya tidak faham.

"Jaringan Zouma patut disahkan. Azpilicueta terlebih dahulu ditolak. Ternyata ia tidak begitu jelas. Ia hanya satu keputusan yang salah dan sukar untuk dibuat dengan kehadiran VAR berbanding sebelum ini.

"Suka atau tidak, jika sesuatu berlaku dan mereka tidak membuat keputusan tepat, ia agak mengelirukan untuk berkata apa-apa. Semua orang yang saya temui berkata perkara yang sama."




Editor: Nafis Abdullah

About Author

Staff Writer

Comment