Ketua jurulatih Chelsea, Frank Lampard, meratapi aksi tidak konsisten serta kesilapan pasukannya sehingga menyebabkan kekalahan mengejut di tangan West Ham United sekali gus membuka ruang buat seteru, Manchester United, dan Wolverhampton Wanderers.

Andriy Yarmolenko masuk selaku pemain gantian dan meledakkan gol kemenangan ketika aksi berbaki seminit untuk mengejutkan seteru London, Chelsea, 3-2, awal pagi tadi.

Willian meledakkan gol menerusi sepakan percuma cantik ketika aksi berbaki 18 minit untuk memadamkan jaringan Tomas Soucek dan Michail Antonio susulan gol pembukaan hasil sepakan penalti pemain dari Brazil itu pada minit ke-42.

Namun, jaringan di penghujung perlawanan oleh Yarmolenko membolehkan West Ham meraih tiga mata serta menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kalah The Blues dalam semua kejohanan.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea kini hanya memiliki kelebihan dua mata di tangga keempat berbanding United dan Wolves, membuatkan perebutan slot ke Liga Juara-Juara semakin terbuka ketika saingan berbaki enam perlawanan.

Selepas aksi tersebut, Lampard menegaskan anak buahnya seharusnya meraih tiga mata dalam perlawanan di London itu.

"Itu kisah musim kami," katanya.

"Ia menjadi musim yang baik tetapi terdapat banyak perkara dalam detik itu. Kami memiliki peluang pada hari ini tetapi anda harus tampil dengan aksi terbaik dalam setiap aspek perlawanan untuk meraih keputusan baik.

"Jika anda melakukan beberapa kesilapan, ia akan memberi kesan kepada pasukan. Pemain harus menunjukkan mentaliti tambahan untuk mengharungi aksi sebegini.

"Saya melihat kelompok ini secara dekat dan telah melihat kami beraksi dengan baik tetapi terdapat peluang yang seharusnya disudahkan. Itu memberi perbezaan dan kami perlu memperbaikinya.

"Jika kami berusaha untuk meledakkan jaringan kemenangan, kami harus balik semula dan bertahan. Bertahan dengan lebih baik.

"Kami dua mata mengatasi United yang kini beraksi dengan cemerlang, Wolves meraih musim yang hebat dan mereka di belakang kami. Leicester juga melalui kempen yang positif dan kami di belakang mereka.

"Ia tentang perspektif. Kami sedih kerana mahukan kemenangan. Kami adalah pemain bola sepak dan dalam situasi terbaik. jadi, tiada masa untuk kecewa tetapi saya tidak membantu selain berkata jujur pada hari ini. Kami patut memenangi aksi hari ini."