Bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke tetap berasa bekas pasukannya perlu mendapatkan bek tengah berkualiti untuk menambah keampuhan pasukan.

Bagi Yorke, pertahanan seperti Kalidou Koulibaly mampu memberi stabiliti kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer itu.

“Ketika ini Koulibaly adalah adalah pemain yang berada dalam radar banyak pasukan, jika United mampu membelinya saya rasa dia mampu melengkapkan pasukan.

“Koulibaly mampu bergandingan dengan Harry Maguire, manakala di bahagian tengah Bruno Fernandes dan Paul Pogba kini semakin serasi.

“United perlu cuba mendapatkan pemain yang diburu pasukan lain seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini,” kata Yorke ketika menjadi tetamu bersama Gary Stevens semasa siaran secara langsung aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Brighton-United di saluran CH813 Astro Supersport pada Rabu.



Dalam pada itu, Yorke percaya United masih mampu menjadi pilihan destinasi pemain walaupun kini mereka akan mempunyai beberapa pilihan lain di EPL.

“Bagi saya ia sepatutnya bukan soal wang buat pemain apabila memilih pasukan baru.

“Mereka perlu tanya diri sendiri sama ada mereka lebih sesuai ke Liverpool, pasukan yang sudah muncul juara, Manchester City yang memang memiliki skuad ampuh, skuad Chelsea kendalian Frank Lampard atau United yang sedang membentuk kembali barisan ampuh.

“Keutamaan bagi pemain sepatutnya kejuaraan yang mampu mereka kecapi bersama pasukan pilihan dan bukannya habuan lumayan,” kata Yorke.



Mengulas mengenai kenyataan Solkjaer yang sebelum ini tidak menolak kemungkinan membawa seorang lagi penyerang dalam pasukan, Yorke berasa bekas rakan sepasukannya itu mahukan persaingan sihat dalam skuadnya.

“Saya percaya Ole mahukan sesi latihan kompetitif serta persaingan yang cukup sihat dalam pasukannya.

“Ia kerana dia sendiri melaluinya sebagai pemain, apabila kami perlu sentiasa berada di tahap terbaik dan jika gagal sudah pasti tempat kami akan digantikan.

“Ketika saya bermain, jika saya beraksi hambar atau Andy Cole kurang menyerlah, Ole pasti berpeluang diturunkan dan itu persaingan yang dimahukannya kini.

“Persaingan yang sihat hanya memberikan hasil positif buat pasukan dan itu caranya di United,” kata Yorke.