Bintang Liverpool, Virgil van Dijk, adalah pertahanan terbaik yang pernah ada dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kata Vincent Kompany.

Van Dijk, 28, membintangi aksi Liverpool sejak tiba daripada Southampton dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £75 juta (RM403.6 juta) pada 2018.

Pemain kebangsaan Belanda itu menamatkan saingan anugerah Ballon d'Or di tempat kedua di belakang Lionel Messi tahun lalu selepas membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Legenda Manchester City, Vincent Kompany, yang kini memegang peranan sebagai pengurus dan pemain Anderlecht, percaya Van Dijk merupakan pertahanan tengah terbaik dalam sejarah EPL.

"Saya akan memberikannya kepada Virgil van Dijk," katanya kepada SPORF.

"Amat pelik kerana dia tiada dalam senarai sama seperti nama-nama yang kita sebut -- John Terry, Rio Ferdinand, mereka sudah berada di sana untuk tempoh yang lama.


"Tetapi petanda yang ditunjukkannya selama beberapa tahun ini, hanya membuatkan ia lebih jelas bahawa dia akan berada di atas, tahap teratas di mana dia mungkin sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh.

"Daripada apa yang saya lihat dalam aspek memberikan impak kepada pasukan sebagai seorang pertahanan, ia bukan mengenai diri sendiri, ia tentang komunikasinya dengan pemain lain dan bagaimana untuk menjadikan pasukan anda lebih kukuh.

"Liverpool sebelum dan selepas kehadiran Van Dijk amat berbeza dan saya memberikannya gelaran itu disebabkan faktor berkenaan," katanya.

Liverpool mendahului EPL dengan kelebihan 25 mata sebelum liga itu direhatkan Mac lalu kerana pandemic Covid-19.