Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mencadangkan barisan pemainnya harus mengurangkan penggunaan media sosial bagi meminimumkan kesan serangan di talian.

Trent Alexander-Arnold, Sadio Mane dan Naby Keita menerima komen berbaur rasis selepas Liverpool ditundukkan 1-3 oleh Real Madrid dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) minggu itu.

Kelab itu mengecam sambil menyifatkan insiden itu sebagai "menjijikkan" dan "sama sekali tidak boleh bertolak-ansur" selain meminta pelantar media sosial supaya memperkenalkan "langkah pencegahan setegas yang mungkin".

Rangers, yang dikendalikan oleh bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard, pada minggu ini bergabung dengan Swansea City dan Birmingham City dengan memboikot media sosial sebagai sebahagian daripada cabaran kepada pembangun media sosial itu agar meningkatkan langkah mencegah penyalahgunaannya.

Klopp tidak aktif di media sosial tetapi percaya cara terbaik untuk menyingkirkan penyalahgunaan di forum adalah dengan mengurangkan penggunaannya.





Dia berkata kepada wartawan: "Dengan media sosial secara umumnya, kita berdepan masalah dengan orang yang boleh bersembunyi di sebalik apa-apa akaun dan mengatakan apa yang ingin mereka sampaikan. Itulah masalah yang harus diselesaikan di planet ini secepat mungkin."

Liverpool akan berhitung dengan Aston Villa malam ini dan pasti berhajat memadam episod diaibkan 2-7 pada Oktober lalu selain meningkatkan beban mereka dalam pemburuan empat kedudukan utama EPL.

Klopp melihat pertembungan Villa dan pertemuan kedua menentang Madrid sebagai peluang untuk membuktikan bahawa mereka layak berada dalam UCL pada musim ini dan seterusnya.

"Tiada peluang tanpa tekanan," katanya.

"Kami berada di tahap tertinggi bola sepak profesional, kami ingin terus berjuang dalam UCL. Kami berhak untuk kedua-duanya tahun depan dan masih dalam persaingan musim ini.

"Seminggu yang lalu, kita bercakap tentang satu perlawanan yang luar biasa ketika berdepan Arsenal, sebuah permainan yang hebat.

"Beberapa hari kemudian kami menentang Real Madrid tetapi perlawanan itu tidak seharusnya mempengaruhi kami ketika berdepan Aston Villa."

Klopp mengakui sukar untuk melupakan kekalahan buruk kepada Villa sebelum ini untuk juara bertahan itu dibolosi tujuh gol buat pertama kalinya sejak April 1963.

"Saya tidak boleh melupakan perlawanan seperti ini dengan segera," katanya.

"Kami harus berusaha mengatasinya. Banyak masalah yang sedang dan tidak pernah kami hadapi dalam pertemuan itu.

"Kami berusaha mencapai keputusan yang memberangsangkan. Kejutan mahupun sebarang keputusan lebih pelik tidak semestinya bermakna kami perlu melakukan sesuatu tetapi yang pasti kita sering bercakap mengenainya.

"Kali ini ia sesuatu yang berbeza, soalnya berapa lama tempoh yang saya perlukan untuk mengatasinya.

"Kebiasaannya terutama selepas menang, fikiran saya akan segera beralih kepada perlawanan seterusnya tetapi ketika ini kami masih harus memikirkan aksi terakhir.

"Saya mengkaji perlawanan ini, kemudian saya menjadi lebih mengerti mengenai apa yang bakal berlaku. Saya hanya perlu cuba memahami mengapa perkara ini berlaku. "

Liverpool vs Aston Villa. ? Join our Telegram channel: http://t.me/stadiumastro

Posted by Stadium Astro on Thursday, April 8, 2021