Jurgen Klopp mendedahkan Liverpool tidak mampu membawa Philippe Coutinho kembali ke Anfield tetapi yakin penggempur itu akan menyinar di Bayern Munich.

Penghijrahan Coutinho menyertai juara bertahan Bundesliga itu disahkan semalam tatkala perpindahan pinjaman pemain Brazil itu daripada Barcelona ke Bayern disertakan dengan pilihan pembelian tetap bernilai EUR120 juta (RM556 juta).

Pemain berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan kepulangan ke Liverpool, di mana dia beraksi selama lima tahun sebelum ke Barca.

Pengendali The Reds, Klopp, berkata juara Eropah itu tidak mampu mengeluarkan wang untuk mendapatkan Coutinho sambil Bayern membayar EUR8.5 juta (RM39.4 juta) untuk yuran pinjaman dan gaji bintang itu.

"Ia kedengaran pelik tetapi kami tidak mampu," katanya.

"Kami telah membelanjakan wang penjualannya dulu."

Dalam masa sama, Klopp yakin Coutinho akan menyinar bersama Bayern selepas bergelut untuk memberi impak kepada Barcelona.

"Dia seorang pemain hebat, budak yang bagus," tambahnya.

"Kami tidak mahu menjualnya tetapi Barcelona memaksa dengan wang, jadi ia dilengkapkan.

"Dia seorang pemain yang mampu mengubah perlawanan kepada positif. Perpindahannya ke Jerman tidak bagus buat Dortmund tetapi satu langkah yang baik untuk Bayern dan Bundesliga."