Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mendedahkan bahawa dia tidak terlalu memikirkan soal untuk memecahkan rekod selepas harapan mereka untuk mengakhiri kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tanpa kalah dimusnahkan Watford, awal pagi tadi.

The Reds menempa kekecewaan pertama musim ini selepas mengharungi 44 perlawanan liga tanpa kalah apabila dibelasah The Hornets 0-3 di Vicarage Road.

Kemenangan Watford itu juga meranapkan peluang Liverpool untuk mengatasi rekod rentetan kemenangan selepas mencipta 18 kejayaan.

Begitupun, Klopp menjelaskan bahawa dia tidak pernah memberi tumpuan untuk mencapai rekod itu dan hanya fokus kepada prestasi pemainnya.

"Pemain-pemain sudah mencipta pelbagai rekod jadi kami tidak boleh bersikap tamak dan fikir bahawa kami perlu menewaskan setiap pasukan," katanya kepada Sky Sports.

"Anda tidak boleh mengatasi setiap rekod seperti yang dihajati. Anda perlu berikan persembahan yang baik. Keputusan yang diraih adalah hasil daripada prestasi yang ditonjolkan.

"Malam ini, kami tidak melakukannya dengan cukup baik, itulah kebimbangan saya. Itulah yang saya fikirkan, bukannya disebabkan kami gagal menjadi pasukan EPL yang terbaik.

"Kami perlu kembali mencari rentak dan menetapkan penanda aras yang baru.

"Ia sentiasa jelas bahawa lambat-laun kami tewas juga -- tetapi bukannya kami menantikan saat itu. Ia adalah sebaliknya."

Klopp berasakan skuad yang berpangkalan di Merseyside itu tidak mempamerkan standard permainan yang tinggi ketika bertemu The Hornets.


Ismaila Sarr menyumbat dua gol buat Watford sementara ketua pasukan, Troy Deeney, melengkapkan kemenangan bergaya buat pasukan kendalian Nigel Pearson itu.

"Mengapa rekod kami boleh berakhir? Ini kerana kami tidak beraksi dengan cukup baik -- semudah itu," kata pengurus berbangsa Jerman tersebut.

"Saya tahu bahawa ia sentiasa sangat sukar tetapi dengan elemen tambahan yang berlegar-legar, ia menjadi motivasi tambahan buat mana-mana pasukan untuk mengalahkan kami buat kali pertama.

"Kami tidak mempunyai sebarang elemen untuk dipertaruhkan. Kami hanya perlu menang lebih banyak perlawanan lagi dan semuanya akan jadi baik-baik saja.

"Kami adalah manusia dan barisan pemain telah melakukannya dengan cemerlang. Jadi malam ini ia tiada kena mengena dengan perlawanan yang kami telah menangi sebelum ini."

Beberapa pemain pelawat tidak beraksi dengan cukup baik dan Klopp mengakui mereka melakukan banyak kesilapan.

Dia menambah: "Watford melakukan apa yang mereka mahu lakukan, kami pula melakukan apa yang tidak kami mahu lakukan.

"Aksi dalam separuh masa pertama memaparkan banyak larian, memenangi bola kedua dan situasinya terbuka. Kami tidak membuat hantaran silang dan hantaran yang tepat pada masanya.

"Kami telah membetulkannya tetapi tidak mendapat pulangannya memandangkan kami telah dibolosi daripada lontaran ke dalam. Ia tidak menjadi perkara yang sulit di kedudukan 0-1 sekiranya kami bertindak balas dengan baik.

"Begitu juga di kedudukan 0-2 tetapi jaringan ketiga yang dilepaskan berpunca daripada kesilapan sendiri. Watford berhak untuk menang dan tahniah. Kami perlu akur."