Jurgen Klopp berharap Liverpool akan mengambil inspirasi daripada The All Blacks dan tidak berpuas hati dengan satu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool meraih kejuaraan liga pertama sejak 1990 selepas mendominasi kempen musim ini sekali gus meneruskan kecemerlangan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

Menjelang pertemuan dengan Manchester City ada awal pagi esok, Klopp berkata dia mahu Liverpool terus berusaha dan mengikut cara skuad ragbi New Zealand, The All Blacks.

"Kami di pertengahan sesuatu, bukan pengakhirannya," katanya.

"Kami harus memberikan segalanya sehingga karier tamat. Selagi anda menyarung jersi ini, kurang daripada 100 peratus tidak dibenarkan. Itu bukan cara saya tetapi datang daripada The All Blacks. Saya menonton dokumentari hebat tentang mereka dan menerapkannya dalam diri sendiri. Ia untuk setiap pemain Livepool dan juga saya.

"Kami mempersiapkan diri untuk berdepan City. Kami juga merangka persiapan untuk musim depan. Saya belajar bahawa apabila sampai ke kemuncak, tidak boleh berhenti. Kami tidak merasainya.

"Saya tidak fikir sudah berpuas hati. Ia satu langkah besar tetapi bukan itu sahaja yang saya mahu bualkan dalam tempoh 20 tahun akan datang."

Berbekalkan baki tujuh perlawanan, Liverpool kini 23 mata mengatasi City menjelang pertemuan di Etihad.