Bekas pemain tengah, Kleberson, menggesa Manchester United untuk menjual bintangnya, Paul Pogba.

Pogba sedang mencari jalan untuk meninggalkan United selepas pemenang Piala Dunia itu dikaitkan dengan gergasi LaLiga dan mungkin kembali menyertai juara Serie A, Juventus.

Pemain berusia 26 tahun itu -- yang kembali ke Old Trafford pada 2016 -- kini di Australia untuk bersama pasukan menghadapi jelajah pra-musim.

Kleberson, yang menyarung jersi United selama dua tahun selepas memenangi Piala Dunia bersama Brazil pada 2002, percaya sudah tiba masa untuk United menjual pemain kelahiran Perancis itu.

"United perlu jual Pogba, dia seorang pemain yang berkualiti dan berbakat," katanya. "Tetapi caraya agak berbeza dan ia sesuatu yang tidak diperlukan oleh United.

"Dia perlu menggunakan peluang ini untuk berhijrah dan mendapatkan nafas baru, menimba pengalaman serta cabaran yang lebih tinggi.

"Kadang-kala sukar untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan United. Ia tidak bermakna dia bukan seorang pemain yang bagus. Terlalu banyak kritikan yang diberikan."

Kleberson turut menambah, "Pogba perlu menggunakan peluang untuk mendapatkan pengalaman baru.

"Dia telah bermain dengan kerap, diberikan lebih banyak peluang berbanding saya bersama The Red Devils.

"Saya kerap dibelenggu kecederaan ketika bersama United. Pogba telah bermain dengan baik tetapi penyokong mengharapkan lebih lagi daripadanya.

"Ketika dia beraksi untuk Perancis, anda dapat melihat kehadirannya amat penting dan dia merupakan tunjang kepada pasukan itu ketika muncul juara dunia."