Chips Keswick memutuskan untuk bersara selepas tujuh tahun bertindak sebagai pengerusi Arsenal, demikian pengesahan yang dibuat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Keswick, 80, muncul sebagai ahli lembaga pengarah The Gunners sejak 2005 --- setahun sebelum Stadium Emirates dibuka.

Dia kemudian dilantik sebagai pengerusi pada 2013 dan keputusannya itu secara tidak langsung meninggalkan pemilik saham majoriti, iaitu Stan Kroenke; anaknya, Josh Kroenke, Philip Harris dan Ken Friar untuk membentuk barisan empat ahli lembaga pengarah kelab.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk menjadi pengerusi kepada kelab bola sepak yang hebat ini," katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu.

"Arsenal akan selalu mendapat tempat istimewa dalam hidup saya dan ia akan tetap berlaku pada masa depan.

"Saya telah menetapkan hasrat untuk bersara pada akhir musim ini, sebelum krisis kesihatan global yang kita alami sekarang melanda.

"Kelab ini berada di tangan yang selamat di bawah pemantauan Stan dan Josh, ahli lembaga pengarah dan pegawai eksekutif.

"Saya percaya Arsenal akan menjadi lebih mantap daripada situasi ini dan seperti semua penyokong kami di seluruh dunia, saya berharap untuk melihat pasukan ini dapat kembali beraksi secepat mungkin."