Naby Keita mengesahkan bahawa dia telah menolak tawaran daripada Barcelona dan Bayern Munich untuk menyertai skuad Liverpool bimbingan Jurgen Klopp.

Keita melengkapkan perpindahan dari kelab Bundesliga, RB Leipzig, bulan lalu, selepas persetujuan dicapai pada 2017 melalui yuran sekitar RM266 juta.

Pemain Guinea berusia 23 tahun itu kini bersedia untuk membentuk kombinasi di bahagian tengah bersama seorang lagi pemain baru The Kop, Fabinho, serta kapten, Jordan Henderson.

"Benar, terdapat beberapa pasukan yang turut berminat, termasuk kelab yang anda sebutkan tetapi peranan besar buat saya untuk melakukan keputusan adalah faktor jurulatih.

"Kami melalui perbualan yang baik. Apa yang diperkatakan kepada saya sangat meyakinkan. Saya dapat lihat kelab sedang berkembang dan saya bercakap dengan Sadio Mane.

"Mane seperti abang buat saya. Kami beraksi bersama selama sembilan bulan di Salzburg dan memiliki hubungan yang akrab. Dia menceritakan kepada saya betapa besar kelab ini dan bagaimana mereka sedang berkembang.

"Saya tidak rasa faktor fizikal akan menjadi kesan negatif buat saya.

"Saya telah menonton bola sepak Inggeris dan melalui proses persahabatan untuk menghadapi musim baru.

"Perkara pertama yang saya fikirkan apabila masuk ke padang adalah bertahan dan tidak dibolosi. Sebagai pemain tengah, apabila selesai tugas di bawah, anda perlu membantu barisan serangan, mencipta peluang buat mereka.

"Saya adalah pemain yang beraksi secara berpasukan. Jika berpeluang, saya akan menjaringkan gol tetapi pasukan lebih penting."