Mikel Arteta sedang berdebar menantikan keputusan ujian mengenai kecederaan paha yang dialami Bukayo Saka, yang terhincut-cincut keluar padang ketika Arsenal menewaskan Sheffield United 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Saka membantu Arsenal memperoleh gol pembukaan menerusi gol pertama daripada dua jaringan Alexandre Lacazette dalam perlawanan itu untuk mereka mudah menewaskan pasukan tercorot berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan buat skuad The Gunners itu apabila bintang meningkat naik mereka, Saka, mengalami ketidakselesaan otot, empat hari menjelang suku akhir kedua Liga Europa (UEL) menentang Slavia Prague selepas perlawanan pertama berkesudahan 1-1.

Dengan masih ketinggalan 10 mata di belakang pasukan di tangga keempat EPL, West Ham, harapan Arsenal untuk layak ke UCL musim depan masih bergantung kepada prestasi mereka dalam UEL dan Arteta sedar pasukannya pada ketika ini tidak boleh kehilangan khidmat Saka, yang melakukan dua hantaran penting di Bramall Lane.

Arteta berkata kepada BT Sport mengenai kecederaan itu: "Dia mengalami ketidakselesaan di pahanya. Saya tidak pasti mengenainya. Perkara terakhir yang kami mahukan adalah seorang lagi pemain tengah menyerang kami mengalami isu seperti ini."

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan itu, Arteta menambah: "Saya tidak tahu dengan lebih terperinci. Untuk Khamis ini, David (Luiz) dan Kieran (Tierney) tidak dapat beraksi.

"Emile (Smith-Rowe) dan Martin (Odegaard) juga masih belum pasti. Ayuh lihat perkembangan Bukayo dalam beberapa hari ini."

Gabriel Martinelli menjaringkan gol kedua Arsenal -- gol pertamanya musim ini selepas perkembangannya terbantut gara-gara masalah kecederaan.

Tetapi Arteta yakin Martinelli, 19, sedang berkembang dengan cara yang betul.

"Saya mahukan anda semua untuk bersabar kerana kami mempunyai ramai pemain berusia 18 dan 19 tahun.

"Ia bukan perkara biasa dan Gabi sedang menuju ke arah yang tepat, dengan perkembangan yang tepat.

"Dia mempunyai sikap dan bakat yang luar biasa," tambahnya.