Jose Mourinho mempunyai jolokan baru buat Harry Kane setelah penyerang Tottenham itu melengkapkan aksi 90 minit pertamanya selepas lima bulan ketika menentang Manchester United.

Penggempur England itu gagal menemui sentuhan penyudah ketika seri 1-1 semalam, tetapi Mourinho tidak meragui akan kebolehan mesin gol kelab berkenaan.

Kane ditimpa kecederaaan hamstring ketika Spurs tumbang 0-1 kepada Southampton pada perayaan Tahun Baru yang lalu hingga perlu menjalani pembedahan yang mungkin menggugat musimnya sekiranya bukan kerana krisis COVID-19 yang membuatkan musim ini tergendala.

Masalah pergelangan kakinya juga bukan lagi tidak asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi Mourinho kagum bagaimana pemain berusia 26 tahun itu berusaha keras di padang latihan sejak Tottenham kembali menyambung saingan musim ini.

"Saya sedar jika esok dia menjaringkan dua gol maka topik ini akan berhenti, tetapi anggaplah dia tidak menyumbat gol. Saya rasa ini hanyalah proses biasa," kata pengendali Portugis itu yang menantikan kunjungan West Ham awal pagi esok.



"Berapa lamakah tempoh yang diperlukannya? Saya tidak tahu. Apa yang saya tahu ialah Harry Kane mempunyai usaha yang luar biasa. Dia beraksi sepanjang 90 minit, dia berlatih lagi hari ini dan semalam, dia sudah bersedia untuk perlawanan esok.

"Dia seorang pemain profesional yang luar biasa, dia sangat komited dengan pasukan. Sekiranya saya perlu sabar untuk menunggunya meledak dua gol atau tiga gol dalam satu perlawanan sebelum semua orang mula mengatakan bahawa Harry Kane sudah kembali, maka saya akan tunggu.

"Tetapi bagi saya, ini bukan setakat Harry Kane semata-mata, dia adalah wira. Kane terpaksa menjalani pembedahan serius yang menyekat pemulihannya dengan sempurna.

"Berikutan kesukaran itu, dia kemudian hanya berkesempatan menjalani latihan biasa selama beberapa minggu. Bagi saya, Kane adalah wira. Jika dia memberikan saya usaha yang sama (menentang West Ham) seperti yang dilakukannya ketika bertemu United, saya akan berasa lebih senang."

Musim ini, Kane telah merekodkan tujuh gol dalam 11 perlawanan di bawah pengurus baru itu selain menyumbat 27 jaringan dalam 32 penampilan buat kelab dan negara.

Mourinho mempertahankan anak buahnya itu dengan mengambil Cristiano Ronaldo dan Didier Drogba sebagai contoh bagi menjawab dakwaan bekas pemain antarabangsa England, Paul Merson, bahawa Kane akan bergelut untuk terus produktif di bawah bimbingannya.

Daripada 36 sentuhan yang melibatkan Kane ketika menghadapi United, tiada satu pun sentuhannya di dalam kawasan penalti lawan, lantas Merson mencadangkan pemain itu mungkin akan mempertimbangkan masa depannya pada akhir musim ini tatkala kelab utara London itu juga hampir kehilangan aksi di peringkat Eropah.

Begitupun, Mourinho yakin penyerang utamanya itu akan tetap kekal sambil menegaskan cita-cita pemain itu secocok dengan keinginan dirinya, Daniel Levy dan Joe Lewis -- ketua dan pemilik Tottenham.

"Kelab tidak perlu melakukan apa-apa," katanya.

"Kelab hanya perlu mengatakan, 'Harry Kane adalah milik kami, Harry Kane mempunyai kontrak jangka panjang, Harry Kane tidak akan dijual, Harry Kane adalah Tottenham, Harry Kane akan kekal.'

"Kami menginginkan hal yang sama. Dia tidak menginginkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang diinginkan Levy, Lewis dan apa yang saya hajati. Dia tidak menginginkan sesuatu yang berbeza daripada kami."