Kane atau Haaland mampu selesai dilema penyerang Manchester United -- Hughes

By Muzaffar Musa 2 March 2021 1163
Kane atau Haaland mampu selesai dilema penyerang Manchester United -- Hughes
Manchester United perlu menyasarkan Harry Kane atau Erling Haaland untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah serangan mereka, kata legenda kelab itu Mark Hughes.

United merupakan pasukan yang merekodkan jaringan tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan 53 gol tetapi mereka bergelut untuk membelah pertahanan pasukan terbaik dalam saingan itu.

The Red Devils terikat 0-0 dengan Chelsea di Stamford Bridge hujung minggu lalu dan ia merupakan empat keputusan seri berturut-turut mereka ketika berdepan lawan daripada kelompok enam pasukan terbaik dan mereka tidak menjaringkan sebarang gol sepanjang enam pertemuan dengan pasukan dalam kelompok itu.

Edinson Cavani dibawa masuk secara perpindahan percuma pada awal musim ini dan telah menyerlah di bahagian depan pasukan itu tetapi pemain kebangsaan Uruguay berkenaan telah mencecah usia 34 tahun dan bukanlah pilihan untuk jangka masa panjang.

Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood, kesemuanya pernah diuji untuk mengemudi jentera serangan pasukan itu musim ini tetapi Hughes -- yang pernah beraksi di Old Trafford  dari 1980 hinga 1986 dan dari 1988 hingga 1995 --  tidak yakin ada di antara mereka yang berasa selesa untuk bermain di posisi itu.

Dan dia berasakan penyerang Tottenham, Kane, dan bintang muda Borussia Dortmund, Haaland, adalah pemain berkaliber untuk Ole Gunnar Solskjaer memacu pasukannya.
 
"Saya banyak mengikuti United dan mereka mempunyai kualiti di bahagian depan padang. Rashford dan Greenwood adalah contoh terbaik," katanya kepada Sky Sports.

"Bagi saya, mereka memerlukan Cavani sewaktu lima tahun lalu, ketika dia berada di kemuncaknya; mereka nampaknya memperolehnya pada waktu yang salah.

"Dia masih penyerang tengah yang cemerlang. Apabila saya melihatnya bersama pasukan ini, saya fikir dia telah memberikan mereka lebih fokus. Dia memberikan mereka keyakinan untuk bermain dengan kemampuannya dan beberapa perkara berlaku di sekitarnya.

"Termasuk Martial juga, mereka (Rashford dan Greenwood) semua mahu bermain di mana-mana posisi yang sedikit ke bawah daripada bahagian tengah. Rashford memilih untuk bermain di bahagian kiri, Martial memilih untuk bermain di bahagian kiri dan Greenwood memilih untuk bermain di bahagian kanan.

"Kesemua mereka telah mencuba untuk beraksi di tengah tetapi anda dapat rasakan bahawa tiada dalam kalangan mereka yang mahu beraksi di sana. Jadi, mereka memerlukan seseorang yang mempunyai kualiti untuk bermain di bahagian tengah dan memberikan mereka fokus yang diperlukan," katanya.

Ditanya sama ada Kane atau Haaland merupakan jawapan yang diperlukan United untuk menyelesaikan masalah itu, Hughes menambah: "Mereka adalah pemain yang perlu didapatkan mereka dalam pasaran pemain.

"Seberapa banyak kemungkinan untuk United mendapatkan mereka dalam pasaran pemain, siapa tahu, kerana terdapat banyak kelab yang mahukan mereka."
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment