Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak akan menggunakan masalah kecederaan mereka sebagai alasan sambil berkata dengan status kelab itu, mereka masih dijangkakan untuk menang.

Liverpool berdepan krisis kecederaan pemain sejak awal musim ini tetapi kini berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dan layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Sebagai pemangkin semangat, Trent Alexander-Arnold dan Naby Keita kembali menjalani latihan semalam, dua hari sebelum juara bertahan itu menantikan kunjungan Wolves.

Klopp berkata tiada sebarang alasan buat Liverpool sambil membicarakan mengenai jangkaan buat kelab itu biarpun mereka sedang mengalami masalah kecederaan.

"Sesiapa sahaja yang diturunkan, kami masih Liverpool. Itulah bagaimana kami melihat keadaan itu. Ia bermakna kami mahu memenangi perlawanan," kata pengurus Liverpool itu kepada wartawan.

"Sebenarnya, saya fikir kebanyakan orang berasakan kami perlu memenangi setiap perlawanan. Anda dapat melihatnya sebelum atau selepas perlawanan betapa mereka tidak bercakap siapa yang boleh atau tidak boleh diturunkan. Tiada siapa akan membenarkan anda menggunakan situasi itu sebagai alasan dan kami juga tidak.

"Situasinya 100 peratus sukar tetapi kami berada pada hari perlawanan kesembilan atau ke-10, saya tidak pasti.

"Jadi, ia sudah terasa panjang biarpun belum memasuski suku ketiga musim ini.

"Jadi, siapa kisah tentang kedudukan pada ketika ini? Kami mencuba untuk bermain bola sepak. Kami memenangi beberapa perlawanan dan seri beberapa perlawanan dan kalah besar sekali. Jadi, itulah tugasnya," katanya.