Mikel Arteta berkata tiada alasan buat layangan kad merah 'yang tidak boleh diterima' terhadap Nicolas Pepe's dan mengakui ketandusan jaringan Arsenal sesuatu yang membimbangkan selepas mereka seri tanpa jaringan dengan Leeds United.

Pemain sayap Pepe diarah keluar padang dalam separuh masa kedua di Elland Road semalam selepas menanduk Ezgjan Alioski.

Layangan kad merah terhadap Pepe merupakan kali kelima Arsenal terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak Arteta mengambil alih pasukan pada Disember 2019, sekurang-kurangnya lebih daripada mana-mana kelab.

Leeds menggegar palang tiga kali dan Bernd Leno cemerlang menafikan beberapa percubaan tuan rumah ketika The Gunners membawa pulang satu mata dan kini menghuni tangga ke-11.

Arteta tidak kagum dengan Pepe, yang berlaga dengan Alioski hingga diarah keluar padang selepas pengadil perlawanan Anthony Taylor melihat semula rakaman.

"Sesuatu yang tidak boleh diterima. Di peringkat ini, anda tidak boleh berkelakuan sedemikian."

Arsenal hanya menjaringkan gol sekali dalam lima perlawanan terakhir EPL dan ia merupakan sepakan penalti disempurnakan Pierre-Emerick Aubameyang ketika mengatasi Manchester United.

Kelab London utara itu telah meledak sembilan gol musim ini, bilangan terendah mereka selepas sembilan perlawanan sejak 1986.