Jurgen Klopp tidak peduli dengan spekulasi masa depan Mohamed Salah di Liverpool sambil menegaskan bahawa penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berada dalam keadaan yang sangat baik.

Salah tampil mengagumkan bersama juara bertahan itu musim ini apabila sudah meledak 13 kali.

Laporan sejak minggu lalu mengatakan Salah sedia meninggalkan pasukan yang disertainya daripada Roma pada 2017 itu.

Kontrak Salah -- yang ditandatangani pada 2018 -- berlangsung hingga 2023, namun pemain berusia 28 tahun itu memberi bayangan mahukan cabaran berbeza di luar Merseyside dengan memberitahu Diario AS: "Saya rasa Madrid dan Barcelona adalah dua kelab terunggul.

"Siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi buat masa ini fokus saya ialah untuk sekali lagi memenangi EPL dan Liga Juara-Juara (UCL) bersama Liverpool. Sudah tentu saya mahu memecahkan rekod di sini dan saya ulangi, kesemua rekod kelab tetapi keputusan terletak di tangan kelab."

Bekas rakan sepasukannya di Mesir, Mohamed Aboutrika, mendedahkan penyerang itu -- yang baru-baru ini mengetepikan Steven Gerrard sebagai penjaring terbanyak Liverpool dalam UCL -- menyuarakan rasa tidak puas hati dengan situasinya di Anfield.

"Saya menghubungi Salah mengenai keadaannya di Liverpool dan dia menyatakan kekesalan, tetapi ia tidak akan mempengaruhi penampilannya di atas padang," kata Aboutrika kepada beIN SPORTS.

Namun, ketika situasi penggempurnya itu dibangkitkan menjelang perlawanan bertemu West Brom Isnin ini, pengurus berbangsa Jerman tersebut menegaskan tiada petunjuk bahawa pemain itu tidak senang.

"Kami tidak pernah berbicara mengenai hal kontrak di depan khalayak ramai, mengapa kami harus memulakannya sekarang? Mo dalam mood yang baik, saat yang baik, keadaan yang sangat baik," kata Klopp dalam sidang akhbar.

"Ketika berlatih -- anda akan melihatnya banyak tertawa, dia menikmatinya jadi itu bagus. Selebihnya pasti bagus untuk ditulis media tetapi secara dalamannya, tidak ada apa-apa terjadi.





"Dia (beraksi di tahap tinggi). Akan ada sahaja hal yang akan diungkit. Sungguhpun dia tidak membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan terakhir (menentang Crystal Palace), segalanya mula menjadi topik hangat tetapi kemudian dia masuk lalu menjaringkan dua gol.

"Jelas dia tidak memerlukan tempoh yang lama. Dia di tahap yang baik, saya harap dia kekal seperti ini. Semua pemain dalam situasi baik, itu sebabnya kami mempunyai kutipan mata seperti ini.

"Detik paling sukar musim ini sudah terbentang di depan kami. Kami harus memastikan kami mampu melaluinya dengan hasil yang tepat."