Jurgen Klopp khuatir mengenai rehat kurang yang dilalui oleh Sadio Mane menjelang saingan musim baru tatkala kempen bintang Liverpool itu masih belum tamat.

Selepas melalui musim 2018-19 yang hebat, pemenang bersama Kasut Emas Liga Perdana Inggeris, Mane, telah menjaringkan tiga gol untuk membantu Senegal mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Aksi pada Jumaat ini berdepan Algeria di Kaherah menjadikan musim yang dilalui Mane hampir menjangkau 12 bulan buat pemain berusia 27 tahun itu selepas turut beraksi buat negaranya di pentas Piala Dunia 2018.

Kempen musim baru Liverpool akan bermula 4 Ogos ini apabila bakal berdepan Manchester City bagi saingan Perisai Komuniti di Wembley.

Pasukan yang baru dinaikkan, Norwich City, akan bertandang ke Anfield lima hari kemudian untuk memulakan kempen Liga Perdana Inggeris.

Dan Klopp menyatakan rasa risaunya terhadap kesediaan Mane untuk menghadapi musim baru sambil mengesahkan pihak kelab belum membuat keputusan waktu untuk Mane kembali.

"Mengenai Mane, kami perlu lihatnya selepas final, bagaimana dia berasa dan sebagainya," ujar Klopp.

"Ia akan jadi sukar. Tempoh 16 hari sebelum berdepan City, musim dia baru tamat. Kami perlu membuat keputusan tetapi masih belum memutuskannya."

Tatkala tarikh untuk Mane kembali masih samar, Klopp -- yang kini bersama skuad menjelajah ke Amerika Syarikat -- mengesahkan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan penjaga gol, Alisson, akan kembali menyertai sesi latihan di Evian dalam bulan ini.

Ketiga-tiga pemain itu dilanjutkan tempoh rehat selepas penglibatan dalam saingan AFCON dan Copa America, namun Klopp yakin mereka mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan diri menghadapi City.

"Ia bermakna kami memiliki sekitar seminggu sebelum berdepan City, 12 hari sebelum melayan kunjungan Norwich serta 15 atau 16 hari sebelum saingan Piala Super Eropah menentang Chelsea," tambah Klopp.

"Kami perlu lihat. Apa yang menarik, apabila anda melalui rehat yang pendek, tidak banyak perkara yang anda terlepas.

"Saya lebih suka mereka kembali bekerja selepas seminggu tetapi ia tampak tidak masuk akal. Jadi, tempoh tiga minggu ini akan digunakan bagi pramusim."