Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, yakin pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan beraksi garang sebaik kembali beraksi.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu unggul dengan 25 mata di puncak dan hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk merangkul gelaran pertama sejak 1990.

EPL tertangguh sejak Mac lalu kerana wabak novel koronavirus (Covid-19) tetapi masih ada harapan ia dapat disambung semula bulan depan.



Minggu ini, kelab-kelab diizinkan untuk kembali berlatih dalam kumpulan kecil dengan amalan penjarakan sosial, justeru Henderson percaya The Reds akan berada dalam keadaan yang sangat baik untuk menyambung perjuangan mereka.

Dia berkata: "Kami perlu mengekalkan tahap kecergasan setinggi yang boleh dan kami diberi program untuk dilakukan. Ia sangat membantu ketika kami berusaha mengekalkan kecergasan.

"Itu sangat bagus buat kami dan saya fikir ramai pemain akan berada di tahap kecergasan yang baik jadi apabila tiba masanya untuk kami beraksi, saya yakin kami akan bersedia."



Bercakap ke laman sesawang rasmi Liverpool, Henderson menambah: "Sudah lama atau paling tidak pun terasa seperti lama (tidak beraksi).

"Jelas sekali agak sukar untuk tidak mengetahui bilakah kami akan beraksi semula, oleh itu kami perlu menyesuaikan diri dengan sebaik mungkin. Usaha berkenaan telah dikendalikan oleh kakitangan kecergasan dengan sangat baik.

"Kami berada di posisi yang cukup baik ketika ini untuk memperluaskan aktiviti, mengeluarkan bola dan melakukan hantaran dan mengembalikan ketajaman.

"Saya harap ia tidak akan memakan masa yang terlalu lama dan kami akan kembali menemui rentak."