Matteo Guendouzi menegaskan bahawa kariernya di Arsenal masih belum berakhir dan mahu merebut tempat dalam perancangan Mikel Arteta musim depan.

Guendouzi, 21, dipinjamkan kepada Hertha Berlin sejak Oktober lalu di mana dia telah melakukan 19 penampilan buat kelab Bundesliga itu.

Pemain tengah Perancis itu merupakan pemain utama The Gunners sewaktu di bawah bimbingan bekas pengurus, Unai Emery, tetapi gagal memperoleh sebarang penampilan buat skuad kendalian Arteta itu pada awal musim ini kerana dia mahu diberikan satu perpindahan tetap.

Ditanya sama ada kariernya di Arsenal sudah berakhir berikutan hubungan tegangnya dengan Arteta, Guendouzi memberikan responnya.

"Tidak, sama sekali tidak," katanya kepada France Football.

"Saya sedang fokus kepada musim saya di Hertha Berlin. Kemudian, kami akan mengadakan temu janji dengan ejen saya dan orang dari kelab itu untuk berbincang mengenai masa depan kami. Saya masih pemain Arsenal."

Guendouzi menyertai Arsenal daripada Lorient pada 2018 dan telah melakukan 57 penampilan buat The Gunners dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi hanya mendaftarkan satu bantuan jaringan dan tiada sebarang gol.

Kontraknya bersama Arsenal akan tamat pada penghujung musim depan dan dia menyedari masa depannya akan menjadi taruhan apabila dia kembali bersama kelab London itu.

"Musim panas ini akan menjadi waktu yang penting.

"Adakah saya akan kembali ke kelab itu ketika Mikel Arteta masih duduk di bangku pengurus? Benar, itu sudah pasti. Saya akan menjadi pemain Arsenal untuk setahun lagi.

"Saya berada di sini untuk melangkah ke depan. Apabila saya bermain untuk Arsenal, saya sentiasa memberikan segala-galanya buat kelab ini, buat penyokong ini, buat pasukan, buat staf. Saya akan terus bekerja keras buat jersi itu seperti biasa," katanya lagi.