Pep Guardiola menganggap masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh Phil Foden dan gembira pemain tempatan itu membintangi Manchester City.

Foden menyumbat gol menarik dan mencipta satu lagi gerakan jaringan ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melakar kejayaan bergaya 4-1 ke atas juara bertahan, Liverpool, di Anfield awal pagi tadi.

Beraksi di bahagian tengah serangan, Foden bergelut untuk mendapatkan rentak dalam babak awal sebelum dapat meningkatkan permainannya dalam separuh masa kedua sejurus mengubah strategi.

Serangan luar biasa yang dilancarkannya melengkapkan tempoh 10 minit yang luar biasa dalam separuh masa kedua untuk menjadikan kedudukan 4-1 selepas terikat 1-1.

Dua kesilapan daripada Alisson menghadiahkan jaringan kedua dan ketiga kepada The Citizens -- Ilkay Gundogan melakar gol berganda dengan salah satunya diilhamkan Foden sebelum Raheem Sterling menanduk masuk gol ke-100 peribadinya di bawah kendalian Guardiola.

Foden kemudian menjaringkan gol keempat dari sudut sukar untuk membelasah The Reds dan memberikan kekalahan ketiga berturut-turut mereka di Anfield buat julung kalinya sejak 1963.



Ditanya mengenai prestasi pemain England itu, Guardiola berkata kepada Sky Sports: "Kawalan bolanya amat bagus, benar-benar agresif.

"Tetapi dia masih sangat muda, dia belum memahami apa yang harus dilakukannya di beberapa posisi, separuh masa pertama dia tidak berada di posisi yang tepat.

"Kami mencubanya tetapi kadang-kadang dia sedikit terganggu di posisi itu. Beraksi di bahagian sayap lebih memudahkannya tetapi dia perlu belajar.

"Mengenai hantarannya untuk gol kedua selain menyumbangkan gol keempat kami, kami sedar dia berbakat besar.

"Namun, tetapi dia masih muda dan kami berharap dia sedar bahawa dia boleh meningkat memandangkan dalam babak pertama, dia gagal mencari ruang di posisi yang kami perlukan dan itulah sebabnya kami bergelut untuk mencengkam awal perlawanan."

Guardiola belum pernah merakamkan kemenangan di Anfield dan dalam lima kunjungan terdahulu, anak buahnya tumbang empat kali selain seri sekali.