Pep Guardiola tidak akan berasa terkilan dengan Sergio Aguero sekiranya penyerang itu menyertai seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaik dia meninggalkan Manchester City pada akhir musim ini.

Minggu lalu, Aguero mengumumkan akan mengakhiri perjanjiannya selama sedekad bersama City sebaik kontraknya berakhir Jun depan.

Pemain berusia 32 tahun itu merupakan pencetak gol terbanyak kelabnya dengan 257 jaringan pada November 2017 selepas mengatasi pencapaian terbaik Eric Brook yang merekodkan 177 gol.

Aguero juga merupakan pemain dari luar negara dengan catatan gol tertinggi dalam sejarah EPL maka tidak hairanlah sentuhannya mampu mengundang minat Chelsea, Tottenham, Arsenal, West Ham dan lawan yang bakal dihadapi The Cityzens malam ini, Leeds United.

Setelah bertahun lamanya berkhidmat di City, Guardiola menegaskan dia tidak akan meyekat hala tuju Aguero -- yang turut dipantau Barcelona, ​​Inter, Paris Saint-Germain (PSG) dan Benfica -- bagi memenuhi keinginannya untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.

"Kami berharap hanya yang terbaik untuknya. Kami berharap dia dapat menikmati yang terbaik di penghujung kariernya," kata pengurus City itu kepada wartawan.

"Kami bersikap terbuka dengan keputusan yang bakal diambilnya, yang terbaik buat keluarga serta kariernya.

"Keutamaan saya adalah pilihannya. Keutamaannya adalah keutamaan saya juga. Yang terbaik untuknya adalah yang terbaik untuk kami."




Ditanya sama ada dia berharap Aguero mampu memberikan persembahan terbaiknya dalam pemburuan empat kejuaraan ketika ini, Guardiola tidak mampu menawarkan jaminan.

Pengurus Sepanyol itu mendedahkan penggempur berkenaan masih bergelut dengan kakinya sebelum diganti selepas sejam permainan dalam kemenangan 2-0 hujung di Leicester City, minggu lalu.

Aguero kemudian memanaskan bangku simpanan dalam kemenangan pertama 2-1 ke atas Borussia Dortmund dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), tiga hari lalu, selepas dihimpit masalah hamstring dan COVID-19 yang menjejaskan kepulangannya selepas menjalani pembedahan lutut, Jun tahun lalu.

"Apa sahaja boleh berlaku. Maaf, saya bukan orang yang boleh melihat sejauh lebih dari seminggu. Dalam bola sepak, sebagai pemain dan pengurus saya belajar bahawa semuanya boleh berubah dengan cepat dengan cara yang positif atau tidak, "katanya lagi.

"Semua orang perlu bersedia dan semoga Sergio dapat mempersiapkan dirinya dengan segera.

"Sergio adalah pemain yang bagus dengan kualiti dan kemahiran tertentu. Saya memahaminya, mengenalinya dan saya faham dia memerlukan masa untuk mencapai kemuncaknya.

"Bertemu Leicester, ia menjadi sangat sukar kerana mereka bertahan begitu dalam, dia bergerak dengan baik dan membantu kami. Dia kemudian berasakan sesuatu di kakinya lalu dia digantikan. Dia pasti boleh melakukan dengan lebih baik."

Liverpool vs Aston Villa. ? Join our Telegram channel: http://t.me/stadiumastro

Posted by Stadium Astro on Thursday, April 8, 2021