Pep Guardiola terkejut dengan perbezaan di antara Manchester City dan Manchester United sewaktu di tiba ke Liga Perdana Inggeris tetapi yakin Ole Gunnar Solskjaer akan mengemudi The Red Devils kembali ke kemasyhuran asal.

Kemenangan 2-1 dalam final Piala EFL ketika berdepan Aston Villa di Wembley minggu lalu menyaksikan Guardiola kini meraih enam kejuaraan utama bersama City dan ia hadir selepas kempen sulung tanpa sebarang trofi pada 2016-17.

Musim seterusnya menyaksikan United merupakan naib juara liga di belakang City, ketinggalan 19 mata berbanding jiran yang mengutip 100 mata.

Dominasi itu menyerlahkan perbezaan dalam perseteruan di antara Guardiola dan Jose Mourinho selepas bersaing ketika di Barcelona dan Real Madrid, hampir sedekad lalu.

Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Old Trafford tengah malam ini, United kini 15 mata di belakang City yang berada di tangga kedua liga dan hanya tiga kali mengesahkan kedudukan empat terbaik sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan pasukan pada 2013.

"Saya tidak menjangkakan kedudukan ini dalam musim terdahulu sewaktu baru tiba di England, perbezaan yang ketara berdepan United dalam tiga atau empat tahun," katanya.

"Kualiti yang dimiliki United, sememangnya besar dan saya menghargai pengurus. Saya fikir Solskjaer mewakili United dalam cara berbeza dan pemain yang ada sangat bagus.

"Pengurus dan pasukan perlukan masa untuk menemui sentuhan terbaik, mencipta apa yang mereka percaya.

"Malangnya, kadangkala keputusan menyebabkan proses tergendala. Saya tidak berada di sana, saya bukan sebahagian daripada United tetapi saya fikir mereka mempercayai Solskjaer. Bagi saya, dia melakukan tugas dengan baik.

"Kadangkala, ia bukan tentang taktik tetapi perasaan, bagaimana pemain mengikut pengurus."


Dalam beberapa tahun terakhir, City mencatat rekod hebat di Old Trafford, menang enam dan hanya satu seri dalam lapan kunjungan ke laman jiran termasuk tiga kemenangan dalam tiga aksi di bawah kendalian Guardiola.

Mereka juga menang 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala EFL, Januari lalu walaupun United bangkit 1-0 dalam aksi timbal balik di Etihad.

Pemain yang dilanda kecederaan panjang, Marcus Rashford, meledakkan gol di laman sendiri serta lawan menentang City musim ini dan mengutip empat gol keseluruhan.

Namun, Guardiola tidak mahu selesa dengan ketiadaan penyerang England itu tatkala barisan depan United diperkuatkan dengan kehadiran Bruno Fernandes dan Odion Ighalo.

"Sejak hari pertama bergelar pengurus, saya sering katakan bahawa mahu berdepan skuad penuh lawan," katanya.

"Saya gembira untuk berdepan Eden Hazard di Bernabeu. Saya tidak suka melihat Rashford dan Harry Kane terpaksa diketepikan.

"Diharapkan dia akan cepat sembuh. Saya lebih gembira jika mereka turun beraksi."