Pep Guardiola menagih lebih banyak lagi detik ajaib daripada Sergio Aguero tatkala penyerang Manchester City itu memasuki tahun akhir kontraknya sehingga menimbulkan teka-teki mengenai masa depannya.

Aguero memainkan peranan singkat, sebaik pulih daripada kecederaan, ketika menundukkan Olympiacos 1-0 dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) kelmarin.

Selepas dilanda masalah hamstring, Aguero berharap dapat memainkan peranan penting dalam kunjungan ke Burnley untuk kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini, sebuah pasukan yang ditundukkan 5-0 dalam setiap tiga pertemuan terakhir mereka di Stadium Etihad.

Penggempur Argentina itu telah menjaringkan sembilan gol dalam sembilan perlawanan terakhirnya ke atas Clarets dan The Citizens pasti mahu meneruskan rentak berkenaan selepas tumbang 0-2 kepada Tottenham, hujung minggu lalu, untuk hanya mengutip 12 mata dalam lapan perlawanan.

Ia adalah pungutan mata terendah sejak 2008-09, sementara 10 gol yang dihimpunkan City merupakan jumlah terburuk mereka dalam lapan perlawanan sejak 2006-07.

Dengan kesepakatan Aguero bakal berakhir penghujung musim ini, pengurus itu menjelaskan perbincangan akan diadakan tetapi buat masa ini dia ingin melihat anak buahnya berkenaan kembali cergas.



"Dia akan menawarkan beberapa detikyang baik musim ini," kata Guardiola mengenai pencetak gol terbanyak kelab itu.

"Dia masih belum berada dalam keadaan terbaik.

"Dia mengalami kecederaan berpanjangan. Dia perlu mengasah semula ketajamannya, kualiti penyudahnya di dalam kotak penalti. Kami tidak mempunyai keraguan mengenai tetapi dia memerlukan sedikit masa melalui sesi latihan dan minit permainannya.

"Selepas itu dia mempunyai tujuh bulan lagi untuk diharungi. Dia berhak untuk berunding dengan kelab demi memutuskan yang terbaik buatnya, kelab dan semua orang.

"Saya bernasib baik berkesempatan menjadi pengurus kepada pemain yang luar biasa. Dia adalah salah satu daripadanya. Tetapi sebagai manusia, saya tidak pernah menemui bintang besar yang memiliki keinginan sepertinya."

Kemunculan penyerang Argentina di Athens itu hadir selepas beberapa jam kematian ikon bola sepak senegaranya, Diego Maradona, diumumkan.

Berita itu sangat menyedihkannya yang pernah berkahwin dengan anak perempuan Maradona, Gianinna.

Ditanya bagaimana Aguero mengatasi kesedihan berita kematian bintang dunia berusia 60 tahun itu, Guardiola berkata: "Sulit bagi saya untuk membincangkan perasaannya.

"Perlawanan menentang Olympiacos adalah sukar, lebih-lebih kerana anaknya. Ia sukar, normal.

"Dia mengenali Maradona dengan cukup rapat dan bagi anaknya pula, itu adalah datuknya. Ia adalah situasi yang menyedihkan buat keluarganya tetapi dia baik-baik saja. Ini adalah urusan dia dan keluarganya."