MANCHESTER CITY 2 SOUTHAMPTON 1

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji keamatan pasukannya ketika bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Southampton 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad lewat malam tadi.


Pertahanan City, Kyle Walker, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 selepas Sergio Aguero memadamkan jaringan permbukaan James Ward-Prowse.

Kemenangan itu memastikan City terus memberikan tekanan buat pendahulu liga, Liverpool, yang turut melakar kemenangan dramatik 2-1 di Aston Villa.

Juara bertahan itu ketinggalan enam mata di belakang Liverpool menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Anfield minggu depan.

"Kami melakukan segala yang termampu dan pada akhirnya, keamatan dan usaha pemain kami terbayar," katanya kepada BBC Sport.

"Mereka merupakan pemain dengan kualiti tertinggi, mereka pemain yang laju.

"Tugas kami adalah untuk mencuba dan menewaskan Southampton, dan kami melakukannya.

"Ia bukan tentang apa yang dilakukan Southampton atau cara mereka bermain tetapi ia tentang bagaimana kami memberikan reaksi.

"Hari ini, kami perlu melakukan segala-galanya.

"Kami perlu menggunakan rentak yang diperlukan -- daripada bagaimana kami mengambil bola dari gawang sendiri hingga ke bagaimana kami mengambil lontaran ke dalam dan sepakan penjuru.

"Kami melakukan semuanya.

"Amat sukar untuk menyerang apabila mereka bertahan dengan 11 pemain.

"Ia kebangkitan yang baik," katanya.

Pertahanan City, Walker, gembira dengan kekentalan yang dipamerkan pasukannya.

"Kami terikat kepadanya, kami terus mengetuk pintu," katanya kepada Sky Sports.

"Saya bernasib baik kerana pintu itu terbuka dan sayalah yang menjaringkan gol itu.

"Amat sukar apabila pasukan itu meletakkan 11 pemain di belakang.

"Kami mempunyai pemain yang boleh menterbalikkan keputusan perlawanan dan kami melakukannya hari ini.

"Ia perlawanan yang gila untuk beraksi, menjaringkan gol dan ia adalah momen yang gila.

"Mereka memperlahankan rentak kami di mana ia agak menyukarkan.

"Tetapi kami meneruskan perancangan dan menamatkannya dengan baik.

"Setiap tiga mata amat penting. Kami mempunyai kualiti.

"Ia tentang kekuatan mental setiap pemain. Kami perlu kekal positif," katanya.