Pep Guardiola menafikan faktor keyakinan menjadi punca Manchester City sukar menjaringkan gol selepas terikat 1-1 dengan West Brom dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.

The Baggies merampas satu mata berharga hasil jaringan sendiri Ruben Dias dan aksi menyelamat gemilang penjaga gol, Sam Johnstone, yang menafikan percubaan Ilkay Gundogan -- penjaring gol pembukaan City -- dan Raheem Sterling dari jarak dekat dalam waktu kecederaan.

City secara keseluruhan melakukan 26 percubaan dan enam daripadanya diselamatkan Johnstone, termasuk sepakan percuma Kevin De Bruyne pada minit ke-86.

Sergio Aguero kembali diturunkan dalam saingan liga pada penghujung permainan tetapi mensia-siakan satu-satunya percubaan yang dilakukannya, sekali gus membuktikan masalah yang dihadapi City selaku pasukan 10 teratas dengan rekod jaringan terendah.

Guardiola tidak berasakan faktor keyakinan di depan gol menjadi punca masalah City tetapi mengakui kegagalan mereka memanfaatkan peluang merupakan satu kegusaran.

"Kami telah melakukan segala-galanya dalam babak kedua, malangnya kami tidak dapat menjaringkan gol," katanya kepada Amazon Prime Sport.

"Kami mencipta peluang yang mencukupi untuk menang -- kami melakukan segala-galanya tetapi pada akhirnya, anda perlu meletakkan bola ke dalam gawang.

"Anda tidak perlu menjadi terlalu bijak untuk melihat jurangnya tidak sama seperti dua musim lalu. Kami lebih bergelut tahun ini.

"Tidak (bukan disebabkan keyakinan). Kami mencipta peluang. Dalam perlawanan ini, kami lebih baik. Kami berada di tahap itu tetapi malangnya kami tidak dapat menjaringkan gol.

"Ia bukan mengenainya (berada lima mata di belakang pendahulu). Kami perlu menang perlawanan ini. Saya menghormati West Brom, kami menyedarinya, kami keciciran mata.

"Kedudukan teratas liga tidak terlalu jauh, itu sudah pasti tetapi apabila menentang West Brom di laman sendiri, anda perlu menang.

"Tetapi ia masih awal Disember dan banyak perlawanan untuk dilalui.

"Kami mencipta peluang,kami berada di tahap itu tetapi ia masih belum cukup," katanya.