Pep Guardiola tidak sabar untuk melihat Aymeric Laporte kembali menjalani latihan penuh tetapi menuntut kesabaran daripada pertahanan tengah itu untuk kembali ke dalam pasukan utamanya.

Manchester City kehilangan Laporte sejak Ogos lalu gara-gara kecederaan lutut yang dialami pemain itu sewaktu menentang Brighton and Hove Albion.

Pertahanan tengah kebangsaan Perancis itu, yang menyertai pasukan berkenaan daripada Athletic Bilbao pada Januari 2018, terpaksa menjalani pembedahan tetapi tempoh pemulihannya sudah hampir tamat.

"Dia berlatih setiap hari, dia berasa baik selepas latihan dan sehari kemudian, dia tidak berasa apa-apa. Jadi, ia adalah berita baik," kata Guardiola dalam sidang media menjelang kunjungan ke laman Aston Villa awal pagi lusa.

"Saya tidak tahu bila dia akan bersedia untuk diturunkan dalam beberapa perlawanan.

"Dia memerlukan sedikit lagi masa tetapi pergerakannya amat bagus.

"Pembedahannya berjalan lancar. Kami sedang menunggu untuk doktor mengesahkan yang dia boleh mula bermain," katanya.

Guardiola, yang gusar dengan kecederaan Kevin De Bruyne dengan menggantikan pemain itu ketika menewaskan Manchester United 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala EFL, juga tidak sabar untuk menantikan kepulangan Leroy Sane.

Bintang Jerman itu hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich sebelum mengalami kecederaan dalam penentuan kejuaraan Perisai Komuniti dengan Liverpool dan khabar angin itu masih belum berpenghujung.

"Apabila kami perlu memulakan pergerakan dari bawah, Leroy adalah yang terbaik untuk melakukannya dan sudah pasti Aymeric juga begitu kerana kemahiran kaki kirinya, beraksi di bahagian kiri dan amat baik dan pantas untuk menyesuaikan diri dalam liga sejak kehadirannya.

"Sudah pasti ia amat penting buat kami, kami perlu menghormati proses itu dan apabila kedua-dua mereka bersedia, saya perlu memikirkan tentang menggunakan mereka.

"Kami akan menggunakan mereka apabila saya berasakan kami perlu menggunakan mereka," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa