Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menggesa ketua Liga Perdana Inggeris (EPL) membenarkan semula lima pertukaran pemain dengan mendakwa peraturan sedia ada tidak menghormati pemain dalam liga itu.

Sebelum ini, setiap kelab dibenarkan untuk melakukan lima pertukaran sebaik saingan itu kembali bersambung Jun lalu bagi menjaga kebajikan pemain selepas tiga bulan tidak beraksi berikutan pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, undian pada Ogos lalu menyaksikan sistem tersebut telah dikembalikan kepada asal di mana hanya tiga pertukaran dibenarkan -- tidak sama seperti kebanyakan liga utama Eropah, termasuk Liga Europa dan Liga Juara-Juara.

Pengurus seperti Jurgen Klopp (Liverpool), Frank Lampard (Chelsea) dan Ole Gunnar Solskjaer (Manchester United) mempersoalkan mengapa pasukan lain mengundi untuk tidak menggunakan sistem lima pertukaran berkenaan dengan jumlah kecederaan pemain kian meningkat.

Guardiola berkata terdapat pengingkatan 47 peratus kecederaan otot tahun ini berbanding di peringkat sama dalam musim 2019-20.

Dan pengurus berbangsa Sepanyol itu kembali besuara agar EPL memikirkan semula keputusan mereka membenarkan hanya tiga pertukaran pemain.

"Ia tiada kena-mengena dengan sesetengah pasukan mempunyai kelebihan. Ia tentang mengapa kami di sini -- tentang pemain. Lupakan tentang sebarang kelebihan, ini untuk melindungi semua pemain.

"Apabila mereka perlu bermain setiap tiga hari, mereka mula menderita.

"Mengapa ia boleh digunakan dalam kesemua liga (di Eropah) dan kita di sini tidak mahu melindungi pemain?

"Statistik telah membuktikan segala-galanya. Pemain tidak dapat pulih daripada perlawanan sebelumnya, juga daripada musim sebelum ini. I tidak masuk akal.

"Siapa yang mengundi keputusan ini? Siapa mereka? Mereka perlu melindungi pemain. Mereka perlu memilih. Peraturan ini telah diterima FIFA dan UEFA," katanya.

City akan beraksi dalam perlawanan kelima sepanjang dua minggu ini apabila berdepan Sheffield United -- yang ditewaskan mereka tiga kali berturut-turut dalam saingan liga -- malam ini.

Jadual padat itu telah mula memberikan kesan dengan pemain seperti Gabriel Jesus, Benjamin Mendy, Sergio Aguero dan Nathan Ake kini tidak dapat diturunkan.

Guardiola percaya ia disebabkan oleh kekurangan persediaan pramusim, di mana City hanya mempunyai lima minggu waktu rehat di antara perlawanan terakhir musim lalu dan perlawanan pertama musim ini.

"Kami hanya memiliki persiapan dua minggu, bukan empat atau lima minggu. Itulah sebabnya.

"Kami sedang mencuba tetapi ia bukan disebabkan keputusan kami. Ia untuk melindungi pemain.

"Ia mengenai beraksi dalam keadaan lebih baik. Hari ini, dalam semua sukan di seluruh dunia, mereka memiliki penjanaan semula yang bagus.

"Apabila ia tidak berlaku, kita berada dalam risiko. Dengan mata yang kami lepaskan, saya tidak menghukum, saya tidak merungut.

"Ia kurang hormat. Saya tidak mahu melihat pemain cedera. Kami perlukan pemain," katanya.