Yaya Toure menyifatkan pengendali pasukan, Pep Guardiola, mula membawa gaya permainan Barcelona ke Manchester City selepas gagal meraih sebarang piala pada musim pertamanya.

Toure, yang telah memenangi treble pertama dalam sejarah Sepanyol di bawah bimbingan Guardiola di Nou Camp pada musim 2008-2009, memulakan musim lalu yang tidak memihak kepadanya.

Tetapi Toure berusaha untuk kembali mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama, memperbaharui kontrak dan menjadi salah seorang pemain dalam perancangan Guardiola.

City melakar kemenangan yang baik ketika bertemu Real Madrid dan Tottenham dalam aksi pemanas badan dan Toure menegaskan pemain-pemain sudah mulai menyesuaikan diri dengan sistem Guardiola.

"Mentaliti pengurus ini adalah bermain dengan baik dan meraih kemenangan, bukan sahaja mementingkan kemenangan," kata Toure.

"Kami mahu penyokong menikmati saat di atas padang dan kami cuba memberikan yang terbaik.

"Itu yang saya lakukan di Barcelona. Saya seorang pemain yang memiliki banyak pengalaman. Saya sangat bertuah dapat bermain di bawah bimbingan Guardiola dan saya mengetahui apa yang beliau mahukan."

City dilihat sebagai pencabar utama untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berbelanja besar bagi mendapatkan pemain-pemain baru seperti Benjamin Mendy, Kyle Walker, Bernardo Silva dan Danilo -- cukup untuk Toure menjangkakan musim yang berjaya.

"Kami memiliki dua penyerang yang berkualiti (Gabriel Jesus dan Sergio Aguero).

"Pasukan telah mengharungi aksi persahabatan dan apabila saingan liga bermula, kami akan melihat bagaimana pasukan menghadapi saingan yang lebih mencabar. Setakat ini, kami berada di landasan yang sangat baik."