Pep Guardiola telah membawa Bernardo Silva ke satu tahap berbeza di Manchester City, kata legenda Portugal, Nuno Gomes.

Silva menyertai City daripada Monaco dengan tanda harga £46.3 juta (RM250.3 juta) pada Mei 2017 selepas menjuarai gelaran Ligue 1.

Dia kemudian menjadi watak penting dalam pasukan itu, yang dibimbing Guardiola memenangi enam daripada tujuh gelaran utama domestik yang ditawarkan, termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut.

Silva diundi sebagai pemain tahunan tebaik City bagi musim 2018-2019 sebelum membantu Portugal menjulang trofi Liga Negara-Negara Eropah di laman sendiri.

Gomes memberitahu Stats Perform News bahawa dia amat meminati pemain berusia 25 tahun itu.

"Benardo, bagi saya buat masa ini, adalah salah seorang pemain terbaik yang kami miliki di Portugal.

"Dia telah banyak meningkat bersama Pep. Saya percaya Guardiola sudah berkata banyak kali bahawa dia amat meminati Bernardo Silva.

"Dan saya percaya Bernardo Silva sedar bahawa dia memiliki kepercayaan dan keyakinan daripada jurulatihnya, jadi dia dapat turun ke padang dan bermain dengan bersahaja, kerana dia memiliki bakat semula jadi," katanya.

Seperti ketika membantu Monaco mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2016-17, Silva amat sinonim dengan posisi sayap kanan di City.

Bagaimanapun, dengan kecederaan yang dialami Kevin de Bruyne musim lalu, dia juga menggalas tugas di bahagian tengah pasukannya itu dan Gomes berasakan cara bertahan pemain perancang itu boleh dianggap baik.

"Dia juga amat meningkat daripada segi bertahan, cara dia memberikan tekanan kepada lawan (termasuk) bagaimana cara dia berkompromi dalam situasi bertahan.

"Kerana ketika bola bersamanya, dia antara yang terbaik.

"Saya percaya dengan Guardiola, dia sudah banyak meningkat daripada segi cara permainan dan saya juga adalah peminat besar Bernardo Silva," tambahnya.

Skuad kendalian Guardiola itu akan menghadapi Arsenal awal pagi Khamis ini apabila Liga Perdana Inggeris kembali bersambung selepas direhatkan sejak Mac lalu gara-gara pandemik Covid-19.