CHELSEA 1 NORWICH 0

Frank Lampard percaya adalah sukar untuk Chelsea memburu kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) meskipun mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga, awal pagi tadi.


Gol dalam separuh masa pertama menerusi Olivier Giroud sudah memadai untuk Chelsea mengungguli Norwich City 1-0 di Stamford Bridge, empat mata mengatasi Leicester City dan Manchester United, yang masing-masing berada di tempat keempat dan kelima dan beraksi kurang satu perlawanan.

Skuad bimbingan Lampard itu juga perlu melepasi ranjau Liverpool dan Wolves dalam usaha mengesahkan kedudukan di kelompok empat teratas.

Begitupun, bekas tonggak tengah The Blues itu yakin anak buahnya masih berpeluang untuk menjamin tempat mereka dalam UCL musim depan.

"Saya mahu terus bercakap soal mentaliti dan saya tidak terlalu merungut, ketika anda perlu menghadapi Liverpool dan Wolves di laman sendiri, ia hanya dua pasukan yang bagus," katanya dalam sidang akhbar.

"Kami hanya perlu fokus satu persatu perlawanan itu. Mempersiapkan diri dan menunjukkan sikap yang betul, saya fikir kami menunjukkannya ketika menentang Norwich, kedua-dua perlawanan itu akan kelihatan sama sekali berbeza dengan pendekatan malam ini.

"Tetapi daripada membicarakan peluang, saya ingin menyentuh soal fokus dan saya ingin bercakap tentang sikap. Semoga usaha kami ini memadai tetapi akan menjadi sukar."





Dalam musim pertama kendaliannya, kelab London itu mara ke separuh akhir Piala FA dan pusingan 16 UCL di sebalik kekalahan 0-03 kepada Bayern Munich dalam pertemuan pertama.

Pengurus berusia 42 tahun itu lega dengan kemajuan Chelsea sambil mengakui bahawa mereka masih meniti jalan yang panjang untuk mengejar Liverpool dan Manchester City.

"Kami boleh berasa lega dengan kedudukan ini ketika ini," katanya lagi.

"Saya tidak mahu melompat kerana kami masih mempunyai perlawanan yang sangat getir.

"Tetapi kami kini menghuni tangga ketiga dan masih berjuang dalam FA Piala dan UCL, saya tahu ia akan menjadi sangat sukar tetapi kami telah melolosi peringkat kumpulan dan anda dapat lihat peralihan di antara pasukan dan pemain remaja selain masalah yang kami hadapi.

"Ramai pemain kami dipinjamkan tahun lalu dan kebanyakannya beraksi dalam Liga Kejuaraan, saya rasa kami boleh berasa gembira.

"Tetapi masih banyak tugas yang perlu dilakukan, kami tidak boleh terlalu seronok berdasarkan jurang pungutan mata yang besar di antara kami dan Liverpool serta Manchester City.

"Kami berada dalam situasi yang menyaksikan kami sedang melalui proses dan masih banyak yang perlu dilakukan. Saya gembira dan saya mahukan lebih banyak lagi apabila kami kembali untuk menghadapi musim depan.

"Namun, perjuangan musim ini masih belum selesai dan kami berusaha merapati mereka dengan berkata, 'mampukah kita mulai menutup jurang itu?' Dan ini akan menjadi satu tugas yang sukar. "