Phil Foden perlu kekal tenang serta merendah diri ketika dihujani pujian, menurut pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Foden melengkapkan kemenangan 4-1 ke atas juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, di Anfield awal minggu ini.

Pemain tengah menyerang berusia 20 tahun itu sudah mencetak 10 gol musim ini selain menjadi nadi mereka untuk jurang lima mata di puncak liga.

Namun, Guardiola mengkritik prestasi Foden ketika dipertaruhkan sebagai penyerang nombor sembilan tiruan dalam separuh masa pertama di Merseyside dan ketika mengulas menjelang ke Swansea City bagi menghadapi Piala FA, awal pagi esok, pengurus itu berpendapat Raheem Sterling pemain yang lebih menonjol.

"Saya berpesan kepada Foden, 'Usah terlalu membaca, mendengar (laporan tentang kamu), kekalkan usaha di atas padang dan terus berjuang'," kata Guardiola, sebelum mengalihkan tumpuannya terhadap Sterling selepas bintang England itu memenangi sepakan penalti selain gol tandukan jarak dekat ke atas Liverpool.



"Tidak ada orang yang bercakap tentang Raheem dan di Anfield, dia memperagakan aksi terbaiknya dalam dua bulan terakhir ini.

"Dia adalah kunci kepada gol pertama dan memenangi sepakan penalti dalam babak pertama. Setiap aksi yang dilakukannya di kubu lawan sangat penting.

"Sudah tentu Phil memainkan peranan penting dalam gerakan gol, terutama dalam perlawanan terakhir.

"Begitupun, Raheem adalah asas bagi kami dan mudah-mudahan -- berikutan dia sedikit tidak berada dalam prestasi terbaik pada bulan lalu -- dia dapat terus mengekalkan tahap permainannya seperti di Anfield."

Foden akan bertemu kembali dengan Steve Cooper tatkala skuad bimbingan Guardiola itu mampu mencipta rekod baru iaitu kemenangan ke-15 berturut-turut.

Pengurus Swansea itu mengemudi England dalam kejayaan Piala Dunia B-17 pada 2017 yang menyaksikan Foden dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sejak itu, bekas pengurus Barcelona berkenaan sering kali dituntut memberi kesempatan kepada pemain muda tersebut.

"Saya tidak merancang untuk mengubah pendekatan kami terhadap Phil," katanya lagi.

"Kadang-kadang dia diturunkan dan ada masanya dia tidak layak beraksi.

"Kita bercakap banyak tentang Phil tetapi selepas itu, kita akan menghukumnya.

"Untuk satu kesilapan dalam kehidupan peribadinya, kita tahu apa yang telah berlaku (Foden disingkirkan daripada tugasan England September lalu kerana melanggar protokol COVID-19).

"Sekarang dia lebih bertenang. Saya tahu Phil akan bersedia apabila diturunkan, keadaan fizikalnya luar biasa.

"Saya akan mengendalikannya sama seperti sebelum ini. Apabila saya percaya dia dapat bantu kami, dia akan beraksi dan apabila saya percaya pemain yang lain pula lebih layak, maka dia tidak akan bermain."