Phil Foden berharap dapat menyertai skuad senior England dalam saingan Euro 2020 selepas menjadi tunjang utama ketika Manchester City menjulang Piala EFL, kelmarin.

Foden, 19, beraksi cemerlang di atas padang tatkala City menewaskan Aston Villa 2-1 dan dinamakan selaku Pemain Terbaik Perlawanan sambil skuad kendalian Pep Guardiola itu mengekalkan kejuaraan itu di Wembley.

Perancang yang hadir daripada akademi City itu membuka ruang buat Sergio Aguero untuk jaringan pembukaan sebelum menyinar memegang peranan di bahagian kanan.

Pengurus England, Gareth Southgate, memantau perkembangan Foden dan mengakui hanya masa akan menentukan pemain muda itu untuk menyertai skuad bimbingannya tatkala pemain muda itu berharap dia dapat menyertai saingan kali ini.

"Saya mahu berada dalam Euro 2020 tetapi ia sangat sukar memandangkan barisan pemain yang dimiliki ketika ini," katanya.

"Namun, diharapkan Southgate menyaksikannya dan menemui apa yang disukai.

"Itu yang boleh saya lakukan, pamerkan apa yang dimiliki apabila beraksi."

Guardiola tidak berselindung sebelum ini apabila menyatakan Foden selaku pengganti David Silva di City dan pandangan itu menambah keyakinan pemain skuad B-21 England itu tanpa menghadirkan tekanan.

"Jika pengurus berkata sebegitu, ia memberikan kepercayaan kepada anda untuk terus beraksi cemerlang," tambahnya.

"Tidak ramai pemain muda seperti saya mampu beraksi dalam pasukan sebegini, jadi ia menunjukkan kepercayaan pengurus dan pemain terhadap saya sangat bagus.

"Apabila anda semakin berkembang, anda impikan untuk beraksi buat City di Wembley di pentas besar dan kini ia menjadi kenyataan.

"Ahad lalu, impian saya menjadi kenyataan. Beraksi dalam final dan jelas sekali kejayaan ini menjadikannya lebih baik."