Final Piala FA: Arteta tidak fikir ia perlawanan terakhir Aubameyang dengan Arsenal

By Muzaffar Musa 1 August 2020 426
Final Piala FA: Arteta tidak fikir ia perlawanan terakhir Aubameyang dengan Arsenal
Mikel Arteta tidak terfikir bahawa final Piala FA awal pagi esok akan menjadi perlawanan terakhir Pierre-Emerick Aubameyang sebagai pemain Arsenal.

Kapten Arsenal itu, yang masih memiliki baki kontrak selama setahun bersama kelab berkenaan, berharap pasukannya akan memperoleh kejayaan di Stadium Wembley dengan menewaskan seteru setempat, Chelsea, bagi menamatkan penantian gelarannya sejak berpindah ke London pada Januari 2018.

Tanpa kemenangan itu, Arsenal akan gagal ke saingan peringkat Eropah buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun.

Arteta mengakui saingan di peringkat benua itu merupakan satu keperluan buat kelab seperti Arsenal dan kekal optimis bahawa Aubameyang akan kekal bersama pasukannya, khususnya selepas mereka menjuarai saingan itu.

"Tidak, saya tidak rasa seperti itu," katanya kepada wartawan ketika ditanya sama ada ia akan menjadi perlawanan terakhir penyerang kebangsaan Gabon itu bersama Arsenal.

"Pada akhirnya, ia satu pakej, anda memerlukan banyak ramuan di atas meja untuk memujuk seorang pemain di tahapnya berada di kelab ini.

"Ia hari yang besar. Saya tidak mahu bercakap atau terlalu mengaitkan dua faktor ini tetapi ia realiti yang amat jelas bahawa faktor kewangan akan membantu dan amat jelas daripada segi kesukanan, beraksi di peringkat Eropah merupakan satu keperluan.

"Usah lupa dia masih mempunyai kontrak bersama kami di sini dan kami mahu mengekalkannya dan melakukannya untuk jangka masa yang lebih panjang tetapi buat masa ini, dia masih bersama kami dan saya fikir dia juga perlu berbangga dengan kedudukannya.

"Memenangi trofi amat membantu untuk anda percaya dan berasakan 'wah, saya mahu lebih banyak momen seperti itu'. Sudah pasti (ia dapat mendorong Aubameyang untuk kekal di Arsenal).

"Jika anda memakai lilitan lengan dan anda dapat menjulang trofi, ia adalah momen yang sudah pasti dapat membantu," katanya.
 
Aubameyang, 31, menjaringkan kedua-dua gol ketika Arsenal menewaskan Manchester City 2-0 awal bulan ini dan sedang dikaitkan untuk menyertai beberapa kelab terkemuka Eropah.

Arteta, yang mengambil alih pasukan itu selepas Unai Emery dipecat Disember lalu, menyedari kepentingan untuk memenangi gelaran itu bagi membina hubungan baik dengan pemain utamanya.

Dia berkata: "Kepercayaan akan terbina apabila anda memenangi trofi, di mana ia amat positif buat mana-mana kumpulan dan ia menjadikannya lebih penting.

"Kami memiliki peluang yang baik, jadi ayuh berusaha untuk mendapatkannya.

"Kami amat teruja, ia hari yang amat istimewa di negara ini dan kejohanan ini dan kami dikaitkan sebagai kelab yang paling banyak memenanginya.

"Kami mahu melakukannya sekali lagi, ia akan menjadi amat istimewa untuk melakukannya dalam musim pertama saya sebagai pengurus dan sekali lagi, pemain kami amat teruja dan bersedia untuk perlawanan ini," tambahnya.

About Author

Muzaffar Musa

Comment