Fernandinho dilantik sebagai kapten Manchester City untuk musim 2020-21, kata ,pengurus Pep Guardiola.

David Silva mengambil alih lilitan itu susulan penghijrahan ketua pasukan veteran, Vincent Kompany, musim lalu sebelum perancang itu memilih untuk pulang ke Sepanyol setelah sedekad di Stadium Etihad.

Ini bermakna tanggungjawab itu kini akan digalas Fernandinho yang menjadi pilihan rakan sepasukan dan anggota kakitangannya yang lain.

"Dia akan bertindak dengan baik (sebagai pemimpin) sejak kali pertama saya bersua dengannya," kata pengurus itu mengenai pemain antarabangsa Brazil berkenaan yang menyertai City daripada Shakhtar Donetsk dengan harga £30 juta (RM159.4j) pada 2013 sambil kontraknya akan berakhir Jun tahun depan.

"Tiada masalah (sama ada Fernandinho memakai) lilitan di tangannya, dia sememangnya seorang yang memimpin pada saat-saat buruk.

"Kami memutuskannya di bilik persalinan, pemain, kakitangan di belakang tabir sebulat suara memutuskan bahawa Fernandinho adalah kapten dan saya sangat senang dengan keputusan itu."



Pemain serba boleh di bahagian tengah sepanjang kariernya itu dikerah ke pertahanan tengah musim lalu dan kelihatan berada di kedudukan yang baik untuk mengekalkan peranan tersebut untuk aksi suklung Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di Wolves, awal pagi esok.

Aymeric Laporte hanya kembali menjalani latihan semalam sejak positif COVID-19 dan dalam keadaan kurang sihat.

Guardiola meningkatkan pilihan di pertahanan tengahnya apabila mengikat Nathan Ake daripada Bournemouth dengan yuran £40j (RM212.5j) sementara usaha merekrut Kalidou Koulibaly tersekat.

Marca pada hujung minggu lalu mnelaporkan The Citizens menantikan pemain Sevilla, Jules Kounde, sebagai alternatif tetaoi juara Liga Europa itu menolak tawaran awal bernilai £51.7j (RM274.7j).

Dalam pada itu, Guardiola menyeru Phil Foden agar belajar daripada kesilapannya di kem England selepas digugurkan bersama Mason Greenword akibat isu disiplin.