Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes, dinobatkan pemenang anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk bulan lalu.

Bintang Portugis itu hanya membuat lima penampilan di England sejak bergabung dengan The Red Devils daripada Sporting CP dengan bayaran awal £46.5 juta (RM245.5j).

Pemain berusia 25 tahun itu telah membuat permulaan karier yang memberangsangkan di United apabila menyumbat tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam sembilan penampilan skuad utama di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.


Dalam aksi liga bulan lalu, dia mempamerkan persembahan memukau dalam kemunculan pertama ketika seri dengan Wolves sebelum membuat umpanan gol kepada Harry Maguire dalam kemenangan 2-0 di Chelsea.

Fernandes kemudian mencetak nama selaku penjaring ketika membelasah Watford 3-0 untuk meraih gelaran Pemain Terbaik bulanan itu.

Dia muncul pemain berbeza yang ke-20 untuk meraih anugerah itu dan pemain pertama dari Portugal sejak Deco melakukannya pada 2008.

Pemain tengah itu mengikut jejak Anthony Martial yang memenangi hadiah berkenaan dalam bulan pertamanya sejurus diperkenalkan dalam Liga Perdana pada 2015.

"Sejak kecil lagi impian saya adalah untuk bermain bersama Man United dan peluang berada di Old Trafford merupakan impian terbesar dalam kerjaya saya," katanya ketika menerima anugerah itu.

"Apabila anda menyertai sebuah kelab baru, anda sering menginginkan gol dan jaringan pertama saya itu adalah istimewa. Tidak kisahlah bagaimana gol tersebut dijaringkan, paling utama ialah nilai kepentingannya.

"Saya gembira dengan permulaan yang dibuat tetapi saya mahu memberikan sumbangan yang lebih besar dan menjadi pemain yang lebih baik lagi."

Fernandes mengetepikan Marcos Alonso, Pierre-Emerick Aubameyang, Dominic Calvert-Lewin, Matt Doherty dan Nick Pope untuk anugerah edisi Februari itu.